Beberapa penduduk Commonwealth mengalami gangguan bekalan air buat sementara pada 24 September apabila sebuah paip air mengalami kerosakan sewaktu kerja-kerja pembinaan projek Bina Ikut Tempahan (BTO).
Dalam satu hantaran Facebook berasingan pada hari yang sama, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan agensi air negara, PUB, berkata kejadian itu berlaku pada waktu malam ketika kerja-kerja dijalankan bagi projek BTO, Tanglin Halt Courtyard.
Akibatnya, isi rumah di tingkat bawah beberapa blok HDB sekitar tapak projek itu mengalami gangguan bekalan air. Ia termasuk Blok 48A (Pasar Tanglin Halt), 89, 90 dan 91 Tanglin Halt Road, tempat letak kereta bertingkat Blok 88 Tanglin Halt, dan Blok 47 hingga 54 Commonwealth Drive.
Seorang pekerja perkhidmatan dari PUB telah menghentikan kebocoran paip itu, dan dua trak air atau water wagon, telah dihantar ke Blok 49 Tanglin Halt Road untuk menyediakan bekalan air sementara kepada penduduk terjejas.
Kontraktor HDB juga telah mengagihkan air mineral kepada unit-unit terjejas, kata Lembaga Perumahan itu.
“Bekalan air telah kembali pada 8 malam dan kerja-kerja pembaikan masih dijalankan,” kata PUB.
“PUB sedang menyiasat punca kebocoran paip itu dan jika perlu, akan membuat tindakan penguatkuasaan sebagai langkah susulan.”
The Straits Times (ST) telah menghubungi HDB dan PUB untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg