Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekalan makanan dari peti sejuk kolong flat di Marine Parade
Sekitar 200 keluarga berpendapatan rendah di kawasan itu dijangka terima makanan percuma
Bekalan makanan dari peti sejuk kolong flat di Marine Parade
SEKITAR 200 keluarga berpendapatan rendah di kawasan Marine Parade akan menerima makanan secara percuma di bawah satu inisiatif peti sejuk masyarakat baru yang dilancarkan semalam.
Dipanggil Food for Good Community Fridge @ Marine Terrace, inisiatif itu merupakan kerjasama antara NTUC FairPrice dengan Jawatankuasa Penduduk Marine Terrace Breeze, Marine Parade.
Pelancaran inisiatif itu, yang diadakan di Blok 20 Marine Terrace, dihadiri Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade.
Di bawah daya usaha itu, pengagihan makanan menerusi peti sejuk masyarakat itu akan dilakukan untuk menyediakan makanan percuma kepada penduduk.
Yayasan FairPrice telah menaja dua peti sejuk baru dan juga akan menyediakan bekalan makanan segar selama setahun, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, susu dan daging, yang dianggarkan bernilai $100,000.
Makanan itu akan dibekalkan setiap minggu dari pasar raya FairPrice yang terletak di sekitar kawasan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FairPrice Group, Encik Seah Kian Peng, berkata pandemik Covid-19 telah menimbulkan cabaran kewangan yang menjejas banyak keluarga berpendapatan rendah, yang menjejas kemampuan mereka membeli makanan dan barang runcit.
"Dengan inisiatif Food for Good Community Fridge ini, FairPrice berharap pengagihan makanan mingguan itu akan memberikan sedikit kelegaan kepada mereka dan pada masa yang sama, memupuk semangat memberi dan berkongsi dalam masyarakat kita," kata beliau.
FairPrice dalam kenyataannya semalam berkata inisiatif baru itu melengkapi daya usaha Pengurangan Sisa Makanan mereka yang bertujuan mengurangkan buangan daripada makanan yang tidak terjual tetapi masih selamat dimakan.
Semua makanan sedemikian dari dua pasar raya FairPrice di kawasan itu - FairPrice Finest @ Katong Village dan FairPrice Finest @ Marine Parade - akan didermakan kepada peti sejuk masyarakat tersebut di bawah skim itu.
FairPrice juga telah bekerjasama dengan Sekolah Tinggi Perempuan Nanyang untuk mencantikkan peti sejuk masyarakat tersebut, termasuk tembok dan tiang di Blok 20 Marine Terrace, dalam usaha memupuk penyertaan masyarakat yang lebih besar.
Pelajar dan guru sekolah itu telah melukiskan ilustrasi buah-buahan dan sayur-sayuran, dan juga gambar penduduk dalam masyarakat yang menjalin ikatan menerusi makanan.
Lukisan tersebut juga berfungsi sebagai tanda arah ke peti sejuk masyarakat tersebut dan menawarkan panduan kesihatan.