STOK perumahan privet yang sedang dibina dan belum dijual terus berkurangan bagi sembilan suku berturut-turut hingga mencapai paras terendah dalam tempoh 15 tahun. Malah, ia tidak menjangkakan peningkatan stok tahun depan. Dengan permintaan yang kukuh bagi perumahan serta kos tanah dan binaan yang tinggi, harga perumahan privet juga dijangka kekal tinggi tahun depan. Berdasarkan data daripada ERA Research and Consultancy, stok unit perumahan privet yang belum dijual berkurangan dari suku kedua 2020 hingga suku ketiga tahun ini - atau dua tahun tiga bulan secara keseluruhan - hingga mencapai 5,320 unit. Ini juga tempoh paling lama stok perumahan privet terus susut sejak Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengeluarkan data sedemikian mulai suku kedua 1998. Tahap sekarang merupakan yang terendah sejak suku ketiga 2007 apabila stok perumahan privet yang belum dijual mencapai 4,666 unit. Dalam kajian itu, stok perumahan privet yang belum dijual pemaju tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) dan ditakrifkan sebagai jumlah tiga jenis unit - unit yang sedang dibina tanpa syarat untuk dijual; unit yang sedang dibina dengan syarat untuk dijual tetapi belum dilancarkan untuk dijual; serta unit yang sedang dibina dan telah dilancarkan namun belum dijual. Ia juga tidak termasuk bekalan jangka panjang melibatkan jualan tanah pada masa akan datang yang belum lagi masuk dalam pasaran. Menurut data, jumlah tertinggi stok perumahan privet yang belum dijual dicapai pada suku kedua 2020 dengan 20,919 unit, sebelum ia terus merosot. Jumlah tertinggi stok perumahan privet yang belum dijual dalam sejarah sejak wujud data tersebut dicapai pada suku kedua 1998, dengan 26,615 unit.