BILANGAN bekalan rumah privet di bawah senarai disahkan bagi Program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) akan ditambah kepada 2,785 unit bagi separuh pertama tahun depan.
Ini adalah 39 peratus lebih tinggi daripada 2,000 unit yang ditawarkan dalam program GLS sekarang, bagi separuh kedua tahun ini, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam.
Perangkaan bagi tahun depan termasuk 495 unit kondominium eksekutif atau EC.
Secara keseluruhan, pemerintah mengumumkan lima tapak senarai disahkan dan lapan tapak senarai simpanan bagi separuh pertama tahun depan.
Tapak-tapak berkenaan boleh menjana sekitar 6,500 unit perumahan dan 530 bilik hotel.
Di bawah senarai simpanan, MND akan menawarkan tapak bagi pembinaan 3,715 unit - termasuk 700 unit EC bagi separuh pertama tahun depan.
Ini adalah 24 peratus lebih rendah berbanding 4,860 unit, yang ditawarkan dalam program GLS tahun ini.
Dalam kenyataannya, MND berkata pasaran perumahan privet kini cergas dengan jumlah urus niaga dan harga meningkat sejak setahun lalu, meskipun dengan kesan ekonomi pandemik.
Bekalan unit rumah privet yang tidak terjual juga merosot.
Maka itu, kata MND, bagi memastikan adanya bekalan rumah privet yang mencukupi, pemerintah memutuskan meningkatkan bekalan rumah privet dalam senarai disahkan bagi program GLS separuh pertama tahun depan.
"Pada masa sama, bekalan tambahan dalam senarai simpanan akan memberi pemaju pilihan tapak yang luas bagi memulakan pembangunan jika terdapat permintaan," ujar kementerian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg