Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan tenaga sejauh ini tidak terganggu, harga elektrik borong stabil: See Leng

Aug 3, 2022 | 5:30 AM
TENAGA DIPELIHARA: Dr Tan See Leng menekankan bahawa pemerintah telah secara aktif mencari cara untuk mempelbagaikan dan memelihara keselamatan tenaga negara. - Foto fail
TENAGA DIPELIHARA: Dr Tan See Leng menekankan bahawa pemerintah telah secara aktif mencari cara untuk mempelbagaikan dan memelihara keselamatan tenaga negara. - Foto fail -

LANGKAH yang diambil pihak berkuasa sejauh ini telah membantu memastikan bekalan tenaga tidak terganggu dan menstabilkan harga elektrik borong di sini, kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Ini bermakna tidak ada keperluan untuk pasaran elektrik berada di bawah kawalan negara dalam jangka masa pendek hingga sederhana, jelasnya bagi menjawab soalan di Parlimen.

Langkah itu termasuk menyediakan kemudahan bahan api siap sedia yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat penjanaan, atau gencos, untuk menjana elektrik apabila bekalan gas asli mereka terganggu.

Pihak berkuasa juga memerlukan genco untuk menambah simpanan bahan api mereka sendiri.

Dr Tan menarik perhatian bahawa dunia telah menghadapi masalah tenaga sejak September lalu, dengan harga gas global meningkat dengan ketara.

Pasaran tenaga global dijangka kekal "tidak menentu dan meningkat", memandangkan konflik yang berlarutan di Ukraine dan peningkatan musiman dalam permintaan tenaga dari negara semasa musim sejuk yang akan datang.

Memandangkan Singapura bergantung kepada gas asli yang diimport untuk menjana sekitar 95 peratus tenaga elektriknya, harga tenaga domestik tidak akan terkecuali daripada turun naik dalam pasaran global, kata Dr Tan.

"Harga bahan api yang lebih tinggi di peringkat global akan menyebabkan harga elektrik domestik yang lebih tinggi.

"Walaupun harga elektrik kita perlu mencerminkan kos pengeluaran elektrik yang lebih tinggi, adalah penting bahawa ketidaktentuan global tidak mengganggu bekalan elektrik kita dan menjejas fungsi pasaran tenaga domestik."

Dr Tan berkata Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan terus memantau keadaan dengan teliti dan tidak akan teragak-agak untuk memperkenalkan langkah baru jika perlu.

Ditanya Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) jika terdapat pertimbangan untuk mempelbagaikan sumber elektrik Singapura, Dr Tan menekankan lagi bahawa pemerintah telah secara aktif mencari cara untuk mempelbagaikan dan memelihara keselamatan tenaga negara.

Selain Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura, EMA mempunyai permintaan berterusan untuk cadangan mengimport sehingga empat gigawatt elektrik menjelang 2035.

"EMA telah menerima pelbagai cadangan daripada negara di rantau ini dan seterusnya, menunjukkan potensi tenaga boleh diperbaharui yang banyak di rantau ini," terang Dr Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg