Bekas anggota bomba harungi penyakit yang sakitnya tidak kelihatan
Bekas anggota bomba harungi penyakit yang sakitnya tidak kelihatan
Sebulan selepas menyertai cabaran anjuran Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang (AES) Firefighter Fitness Challenge (AFFC) pada Mei lalu, kehidupan Encik Afiq Nordin, berubah secara mendadak setelah ditimpa kemalangan yang tidak diduga.
Beliau yang berusia 30 tahun disahkan menghidapi penyakit yang jarang berlaku – keradangan saraf tunjang atau Transverse Myelitis (TM).
Bekas bomba yang awalnya berkhidmat di Pangkalan Udara Paya Lebar selama lapan tahun itu berkata beliau mendapat sensasi kesemutan di bahagian bahu hingga ke hujung kaki sebelum terpaksa ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) untuk menerima rawatan.
“Saya muntah berterusan dan saya rasa sakit dan lemah sepanjang masa. Saya hanya perasan bahawa saya tidak dapat membuang air kecil dan besar ketika berada di A&E untuk menerima rawatan,” cerita Encik Afiq.
Berkongsi di platform TikToknya, Encik Afiq memuatnaik video beliau melakukan cabaran membalikkan roda besar semasa acara AFFC itu dengan kapsyen – beliau akan disahkan menghidapi Transverse Myelitis dan hidupnya akan berubah secara mendadak.
Video itu turut meraih kata-kata semangat daripada pengguna lain.
Namun menurutnya, kegiatan itu tidak mencetuskan penyakit tersebut, malah katanya ia mungkin disebabkan sistem imun tersilap menyerang saraf tunjang.
“Walaupun terdapat beberapa pencetus yang diketahui bagi Transverse Myelitis, sehingga kini tiada pihak yang dapat mengesahkan puncanya secara tepat,” tambah Encik Afiq di ruang komen TikToknya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Afiq berkongsi tentang kepayahan melakukan rutin harian termasuk mendukung anaknya yang berusia dua tahun mahupun mengangkat barang berat.
“Saya tidak sekuat seperti dulu, perkara kecil seperti mendukung anak ataupun ke pasar, rasa seperti seharian melakukan senaman. Saya rasa cepat letih dan lemah”, ujar Encik Afiq.
Beliau menambah bahawa cabaran paling besar ialah hakikat yang penyakit dalaman sepertinya ini tidak kelihatan dari luar, membuatkan ada yang keliru dan menganggap beliau sihat.
“Ada yang lupa saya sakit dan menyuruh saya agar cepat mencari kerja. Ia seperti masalah kesihatan dipandang ringan,” tambahnya yang kini terpaksa dilepaskan daripada jawatannya sebagai pegawai bomba AES.
Daripada seorang yang aktif dan cergas, peralihan kepada gaya hidup yang lebih perlahan bukanlah sesuatu yang mudah baginya.
Kini, beliau hanya melakukan senaman ringan bersama isterinya, Cik Siti Nadia Mohammad, 29 tahun, dan bergantung kepada ubat.
“Beliau adalah orang yang memahami dan sentiasa mengambil berat tentang saya” kata Encik Afiq mengenai isterinya yang merupakan pekerja dalam bidang perkhidmatan gaya hidup.
“Ia bukan suatu yang mudah untuk beralih daripada gaya hidup yang sihat dan aktif. Apabila tiba-tiba jatuh sakit, fikir tentang komitmen dan masa depan… memang sangat memberi tekanan.
“Bukan mudah dari segi kewangan, fizikal dan mental”, ujarnya yang menerima rawatan sebanyak dua kali di hospital dalam setahun.
Pada awalnya, beliau disahkan menghidapi barah darah, namun setelah melakukan ujian tusukan lumbar (LP) – prosedur memasukkan jarum kecil di bahagian tulang belakang untuk mendapatkan sedikit cecair yang mengelilingi otak – barulah doktor mengesahkan beliau menghidapi TM.
Sewaktu menerima rawatan di Hospital Besar Changi (CGH), Encik Afiq menjalani pelbagai ujian dan bergantung kepada rawatan steroid untuk mengawal keradangan.
Penyakit ini menjejas segmen saraf tunjang sehingga boleh menyebabkan masalah saraf seperti kesakitan, kelemahan, masalah deria serta gangguan fungsi usus.
Jumlah kes baru setiap tahun dianggarkan antara satu hingga lapan kes bagi setiap satu juta orang menurut Perunding Kanan, Institut Neurosains Kebangsaan (NNI), Dr Jeanne Tan, yang berkata pihaknya merawat sebanyak 30 kes dalam setahun.
Beliau yang juga pakar konsultan neurologi di NNI menjelaskan bahawa penyakit TM ini boleh menjejas sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina dan bangsa.
“Antara 30 hingga 60 peratus kes TM berpunca daripada jangkitan dan gangguan sistem imun manakala sebanyak 15 hingga 30 peratus kes lagi tidak diketahui puncanya, ataupun idiopatik”, kata beliau.
Kebanyakan pesakit TM idiopatik mengalami pemulihan separa, yang biasanya bermula dalam tempoh satu hingga tiga bulan dan diteruskan dengan senaman serta rehabilitasi.
Proses pemulihan boleh berlanjutan selama bertahun-tahun namun terdapat kajian yang melaporkan bahawa kecacatan kekal berterusan dalam kira-kira 40 peratus pesakit.
Satu pertiga daripada pesakit TM pulih sepenuhnya, manakala dua pertiga lagi memerlukan rehabilitasi jangka panjang.
Kesan jangka panjang TM boleh merangkumi masalah seperti gangguan pundi kencing dan usus, masalah seksual, pergerakan terhad, serta masalah psikososial termasuk kemurungan dan pemikiran untuk membunuh diri.

