SEORANG arkitek utama kanan syarikat pakar runding prasarana Surbana Jurong dikatakan menyebar imej intim dua wanita dalam talian tanpa izin mereka.
Dalam 10 kejadian antara 28 Ogos dan 21 September 2021, Heng Boon Keng, 53 tahun, didakwa memuat naik beberapa gambar kelamin dan buah dada salah seorang daripada dua wanita tersebut ke forum SammyBoy, sebuah laman bertema seks.
Heng, yang tidak lagi bekerja di Surbana, didakwa memuat naik beberapa gambar buah dada wanita kedua di laman sama dalam dua kejadian antara 16 dan 17 September 2021.
Wanita-wanita berkenaan tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mereka, lapor akhbar The Straits Times.
Dokumen mahkamah tidak mengatakan bagaimana Heng mendapatkan gambar-gambar tersebut dan bagaimana kesalahan yang didakwa itu terbongkar.
Dokumen tersebut juga tidak mengatakan bagaimana dua wanita itu terkait dengannya.
Persidangan praperbicaraan Heng akan diadakan pada 13 Februari.
Bagi setiap tuduhan menyebar imej intim seorang wanita, pesalah boleh dihukum penjara hingga lima tahun, denda, rotan atau sembarang gabungan hukuman tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada ST semalam, seorang jurucakap Surbana Jurong berkata: "Kami memandang serius isu ini dan telah mengarahkan Encik Heng digantung kerja."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg