PERNAH menjadi ketua hakim pertandingan realiti nyanyian Singapore Idol, Ken Lim Chih Chiang, pada Khamis dihadapkan di hadapan hakim mahkamah daerah selepas dia dituduh mencabul kehormatan. Lim, pengarah eksekutif syarikat rakaman Hype Records, dikatakan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 25 tahun dengan menyentuh buah dadanya. Insiden yang dikatakan itu berlaku pada 23 November 2021 di pejabat Hype Records di Henderson Road. Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En meminta identiti mangsa tidak dinamakan atas perintah mahkamah. Lim, yang diwakili Encik Navin Naidu, rakan kongsi di Dentons Rodyk & Davidson, ditemani isterinya, bekas artis rakaman Judy Hsu. Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki. Encik Naidu memberitahu mahkamah bahawa siasatan telah mengambil masa lebih 15 bulan, dan bahawa Lim kekal tidak bersalah dan tidak akan mengaku bersalah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg