Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pekerja hotel dibantu kembali bekerja lepas bersara
SELEPAS hampir empat dekad bekerja dalam industri hotel dan juga makanan dan minuman (F&B), Encik Rahmat Hamid akhirnya bersara.
Namun, hanya setelah berehat sebentar, beliau, yang kini berusia 62 tahun, memutuskan untuk kembali ke alam pekerjaan.
Mulanya beliau bekerja sebagai pegawai keselamatan.
Namun kemudian beliau memutuskan untuk menyertai sektor penjagaan warga emas dan ditawarkan peranan sebagai sekutu penjagaan masyarakat di kemudahan penjagaan All Saints Home di Yishun.
Kisah Encik Rahmat ini dikongsi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2023 sebagai contoh individu yang telah mendapat manfaat daripada skim sokongan pekerjaan untuk golongan pekerja lanjut usia yang ingin terus bekerja.
Ini seperti Kredit Pekerjaan Warga Emas, yang kata Encik Wong akan dilanjutkan sehingga 2025 untuk terus menyediakan imbangan gaji kepada majikan yang menggajikan pekerja berusia 55 tahun dan ke atas.
"Bagi saya, dunia sentiasa berubah. Oleh itu, saya perlu belajar untuk berubah dan meraih kemahiran baru. Jika tidak, saya tidak akan dapat melakukan pekerjaan saya dengan berkesan," kata Encik Rahmat.
