SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bekas pelakon Nick Mikhail didenda $13,000 kerana iklan dan jual vape di Instagram

Bekas pelakon Nick Mikhail didenda $13,000 kerana iklan dan jual vape di Instagram

Mar 9, 2023 | 9:43 PM

Bekas pelakon Nick Mikhail didenda $13,000 kerana iklan dan jual vape di Instagram

Foto BH oleh KELVIN CHNG
Foto BH oleh KELVIN CHNG -

DENGAN menggunakan akaun Instagramnya, bekas pelakon Singapura, Mikhail Abdul Razak, menawarkan e-rokok untuk dijual.

Kegiatan haramnya dikesan oleh pegawai dari Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Disember 2019, semasa pengawasan dalam talian terhadap penjaja e-rokok dibuat.

Sekitar seminggu kemudian, Mikhail menawarkan untuk menjual pelbagai produk tembakau tiruan kepada pegawai HSA yang menyamar.

Pada Khamis, lelaki berusia 44 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Nick Mikhail, didenda $13,000 selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mengiklankan produk haram itu dan enam tuduhan lain sama ada menjual atau menawarkan untuk menjualnya.

Sebanyak 25 lagi tuduhan serupa diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Menurut pendakwa HSA, Caleb Looi, Mikhail telah menerbitkan iklan berkaitan produk tembakau tiruan di akaun Instagramnya pada Oktober 2019.

Pendakwa raya berkata: "Melalui iklan itu pengguna Instagram boleh bersembang dengan tertuduh untuk membeli produk tembakau tiruan atau komponennya."

Dalam pelbagai kesempatan pada tahun itu, dia menjual atau menawarkan untuk menjual vape kepada pelbagai pengguna Instagram.

Pada 20 Disember 2019, sebagai contoh, dia menjual kepada pengguna Instagram dua vape - satu dengan harga $66 dan satu lagi dengan harga $80.

Pada hari yang sama, selepas dia menyerahkan produk tembakau haram lain kepada pegawai HSA yang menyamar, pegawai itu mengenalkan dirinya.

Kereta dan rumah Mikhail kemudiannya digeledah, dan e-rokok serta peralatan berkaitan ditemui dan dirampas.

Mikhail mengakui telah melakukan beberapa transaksi yang berjaya dan dia telah memperoleh kira-kira $2,500 hingga $3,000.

Mikhail, yang pernah muncul dalam rancangan di saluran televisyen berbahasa Suria, memberitahu mahkamah bahawa dia telah melakukan kesalahan itu pada 2019 dalam masa terdesak, dan dia adalah orang yang berbeza sekarang.

Dia membayar denda sebanyak $6,500 pada Khamis, selepas mahkamah membenarkannya membayar baki jumlah tersebut secara ansuran.

Bagi mengiklankan produk tembakau secara haram, dia boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.

Dia boleh menerima hukuman yang sama untuk setiap tuduhan menjual atau menawarkan untuk menjual produk haram itu.

Bercakap kepada The Straits Times di luar mahkamah, Mikhail, yang kini menjadi broker pinjaman, mengulangi kekesalannya, dan berkata:

"Saya mempunyai beberapa perkongsian niaga di kedai di Kuala Lumpur, jadi di situlah saya boleh mendapatkan akses kepada semua barangan ini. Jadi ia menjadi seperti godaan... Apa yang saya boleh katakan ialah apa yang saya lakukan adalah salah."

Menurut statistik terkini daripada HSA, 4,916 orang telah ditangkap kerana menggunakan dan memiliki e-rokok pada 2022, berbanding 4,697 pada 2021 dan 1,266 pada 2020.

Tinjauan merokok dan vape oleh firma penyelidikan Milieu Insight pada September 2022 juga menunjukkan penggunaan vape haram semakin meningkat di Singapura, dengan 4.3 peratus orang dewasa menggunakan produk alternatif seperti vape.

Ini meningkat daripada 3.9 peratus pada September 2021, dan 3 peratus pada suku pertama 2021.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg