Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pengarah kanan MUIS dihukum penjara 7 minggu atas salah guna komputer, seleweng wang
Bekas pengarah kanan MUIS dihukum penjara 7 minggu atas salah guna komputer, seleweng wang
Razak Lazim kemuka rayuan atas hukuman, dibebaskan dengan ikat jamin $30,000
Bekas pengarah kanan MUIS dihukum penjara 7 minggu atas salah guna komputer, seleweng wang
Seorang bekas pengarah kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), telah dijatuhkan hukuman penjara 7 minggu pada 18 September.
Razak Mohamed Lazim, 59 tahun, mengaku bersalah pada 29 Julai atas satu pertuduhan di bawah Akta Salah Guna Komputer kerana mengakses sistem e-mel Madrasah Irsyad Al-Zuhri tanpa kebenaran, dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta secara tidak jujur.
Semasa penjatuhan hukuman, Hakim Daerah Kamala Ponnampalam berkata tiga lagi pertuduhan lain, daripada Akta Salah Guna Komputer telah diambil kira.
Razak juga dilepaskan tetapi tidak membawa kepada pembebasan (DNATA) untuk tiga lagi pertuduhan termasuk dakwaan menipu Temasek Foundation hampir $785,000.
Ini bermaksud Razak masih boleh didakwa atas pertuduhan tersebut pada masa hadapan sekiranya keadaan berubah seperti adanya saksi atau bahan bukti baharu.
Menurut dokumen yang telah dihantar Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kepada mahkamah, hukuman yang dicadangkan selaras dengan kes terdahulu yang melibatkan Akta Salah Guna Komputer dan penyalahgunaan harta.
Semasa ditemui Berita Harian (BH), peguam Razak, Encik Andre Darius Jumabhoy, daripada Andre Jumabhoy LLC, berkata anak guamannya telah membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.
Pihak peguam Razak juga telah mengesahkan bahawa dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $30,000, apabila dihubungi BH.
Menurut dokumen mahkamah, Razak telah memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan MUIS dan bertanggungjawab mengurus hal Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dari 2011 hingga 2016.
Di samping itu, Razak juga merupakan ahli Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Irsyad (MMC) dan Lembaga Pengelola (BOG) Madrasah Irsyad sehingga tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2017.
Kesalahan akses e-mel madrasah tanpa kebenaran
Semasa memegang jawatan di Madrasah Irsyad, Razak telah diberikan hak akses kepada sistem e-mel madrasah tersebut yang membolehkannya mengakses dan mengkonfigurasi semua akaun e-mel pada sistem itu.
Pada 2019, beliau membuat satu akaun e-mel baharu dalam sistem madrasah itu dan menetapkan arahan supaya salinan e-mel yang dihantar ke alamat lamanya disambungkan ke akaun e-mel peribadinya.
Ini meskipun tempoh perkhidmatannya di MMC madrasah itu telah tamat.
Disebabkan beliau tidak mempunyai kebenaran untuk mengakses sistem e-mel tersebut, beliau didapati membuat satu kesalahan di bawah Akta Salah Guna Komputer.
Semasa penjatuhan hukuman, DPP Bryan Wong telah meminta hukuman penjara untuk satu hingga dua bulan kerana terdapat unsur perancangan oleh Razak semasa kesalahan tersebut.
Peguam Aristotle Emmanuel Eng, yang mewakili Razak, pula memohon hukuman denda sebanyak $7,000 kerana Razak melakukan demikian kerana ingin menerima e-mel kerja tanpa sebarang perancangan teliti.
Namun, Hakim Daerah Kamala mendapati bahawa terdapat unsur kegigihan dan perancangan semasa kesalahan tersebut dilakukan.
Seleweng duit madrasah
Setelah meletakkan jawatannya di MUIS dan Madrasah Irsyad, Razak dilantik Pengarah Eksekutif Irsyad Trust Limited (ITL) pada 1 April 2016.
ITL merupakan sebuah syarikat berasingan yang bertujuan menguruskan projek antarabangsa yang menyokong pendidikan Islam dan pembangunan kapasiti sekolah agama Islam di rantau ini.
Menurut dokumen mahkamah, Razak telah didapati menyalahgunakan wang milik madrasah sebanyak $68,629 secara tidak jujur mulai 7 Februari 2020.
Wang tersebut melibatkan pembayaran royalti daripada penjualan buku teks yang dihasilkan Madrasah Irsyad.
DPP Wong berhujah bahawa jumlah wang yang diseleweng adalah besar dan milik badan awam.
Peguam Eng pula berkata bahawa kesalahan tersebut merupakan kecuaian dari pihak Razak.
Namun, Hakim Daerah Kamala tidak setuju kerana terdapat beberapa peringatan untuk Razak memindahkan wang tersebut kepada pihak madrasah.
Bagi kesalahan mengakses e-mel madrasah tanpa kebenaran, Razak dikenakan hukuman penjara selama 3 minggu.
Dia juga dikenakan hukuman penjara selama 4 minggu untuk kesalahannya menyalahgunakan harta secara tidak jujur.
Kededua hukuman tersebut akan berjalan secara berturut-turut, menjadikannya sebanyak 7 minggu.
Mengulas tentang jenayah menyalahgunakan komputer, Hakim Daerah Kamala berkata:
“Jenayah komputer harus dianggap serius seperti jenayah lain.”
Menurut Hakim Daerah Kamala lagi, jenayah komputer tersebut mampu menjejaskan integriti sistem komputer di Singapura dan hukuman berbentuk pencegahan harus dikenakan.

