SEORANG bekas pengarah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Razak Mohamed Lazim, dikenakan satu lagi tuduhan tambahan pada Jumaat, iaitu pecah amanah melibatkan $68,629.

Razak, 56 tahun, sebelum ini telah dikenakan lima tuduhan di bawah Akta Salah Guna Komputer dan dua tuduhan menipu Temasek Foundation International CLG Limited (TF Intl).

Dengan tuduhan terbaru itu, ketua pegawai eksekutif Irsyad Trust Limited (ITL) itu kini menghadapi lapan tuduhan kesemuanya.

Menurut kertas tuduhan terbaru itu, pada atau sekitar 7 Februari 2020, Razak dikatakan menyeleweng wang $68,629 yang dibayar oleh Key-Orient Lamitec Pte Ltd kepada ITL sebagai bayaran royalti bagi Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Di Mahkamah Negara, peguam bela Razak, Encik Mohammad Shafiq daripada firma guaman Andre Jumabhoy LLC, meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan selama enam minggu.

Seorang pendakwa polis memberitahu mahkamah siasatan terhadap kes itu belum selesai, dan tidak diketahui buat masa ini apakah lebih banyak tuduhan akan dikemukakan pada masa hadapan.

Bekas pengarah kanan bagi madrasah di Muis itu dibebas dengan ikat jamin $30,000.

Pemeriksaan Berita Harian di laman companies.sg mendapati ITL ditubuhkan pada 2006 dan masih beroperasi. Syarikat itu mengatakan di lamannya, "Kami adalah penyedia sehenti bagi membantu rakan kongsi dalam menubuhkan sekolah abad ke-21."

Pada 17 Februari 2023, Razak dikenakan dua tuduhan menipu Temasek Foundation melibatkan dua saranan bagi mendapatkan geran bagi programnya.

Dia didakwa memberi gambaran palsu bahawa ITL ada kaitan dengan Madrasah Irsyad. Ekoran itu, ITL menerima daripada yayasan itu dana berjumlah $784,900 antara Disember 2018 dengan September 2020.

Bagi dakwaan salah guna komputer, Razak didakwa memberi arahan kepada seorang individu bernama Saifulrijal Salleh supaya melakukan satu pengubahsuaian yang tidak dibenarkan bagi kandungan komputer.

Hakim Daerah Eugene Teo memerintahkan kes Razak didengar lagi pada 21 April.

Jika disabitkan dengan kesalahan pecah amanah, Razak boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda.