Seorang bekas pengarah kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), telah dijatuhkan hukuman penjara 7 minggu pada 18 September.

Razak Mohamed Lazim, 59 tahun, mengaku bersalah pada 29 Julai atas satu pertuduhan di bawah Akta Salah Guna Komputer kerana mengakses sistem e-mel Madrasah Irsyad Al-Zuhri tanpa kebenaran, dan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

Hakim Daerah Kamala Ponnampalam juga berkata tiga lagi tuduhan lain, daripada Akta Salah Guna Komputer telah diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Menurut dokumen yang telah dihantar Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kepada mahkamah, hukuman yang dicadangkan selaras dengan kes terdahulu yang melibatkan Akta Salah Guna Komputer dan penyalahgunaan harta.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), peguam Razak, Encik Andre Darius Jumabhoy, berkata anak guamannya telah membuat rayuan ikat jamin untuk menangguhkan permulaan hukuman tersebut.

Pihak peguam Razak telah memohon untuk ikat jamin sebanyak $30,000 kerana menganggap Razak sebagai seseorang yang tidak berisiko untuk meninggalkan negara.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BH, Razak telah memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan MUIS dan bertanggungjawab mengurus hal Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dari 2011 hingga 2016.

Di samping itu, Razak juga merupakan ahli Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Irsyad (MMC) dan Lembaga Pengelola (BOG) Madrasah Irsyad sehingga tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2017.

Kesalahan akses e-mel madrasah tanpa kebenaran

Semasa memegang jawatan di Madrasah Irsyad, Razak telah diberikan hak akses kepada sistem e-mel madrasah tersebut yang membolehkannya mengakses dan mengkonfigurasi semua akaun e-mel pada sistem itu.

Pada 2019, beliau membuat satu akaun e-mel baharu dalam sistem madrasah itu dan menetapkan arahan supaya salinan e-mel yang dihantar ke alamat lamanya disambungkan ke akaun e-mel peribadinya.

Ini meskipun tempoh perkhidmatannya di MMC madrasah itu telah tamat.

Disebabkan beliau tidak mempunyai kebenaran untuk mengakses sistem e-mel tersebut, beliau didapati membuat satu kesalahan di bawah Akta Salah Guna Komputer.

Seleweng duit madrasah

Setelah meletakkan jawatannya di MUIS dan Madrasah Irsyad, Razak dilantik Pengarah Eksekutif Irsyad Trust Limited (ITL) pada 1 April 2016.

ITL merupakan sebuah syarikat berasingan yang bertujuan menguruskan projek antarabangsa yang menyokong pendidikan Islam dan pembangunan kapasiti sekolah agama Islam di rantau ini.

Pada 2018, ITL dan syarikat pencetakan Key-Orient Lamitec Pte Ltd (KOL) telah memasuki satu persetujuan di mana ITL akan mempromosikan, menjual, dan mengedar buku teks yang dihasilkan Madrasah Irsyad.

KOL pula akan membahagikan bayaran royalti yang diterima antara tiga pihak, iaitu madrasah itu, ITL, dan KOL.

Pada 2019, KOL dan Cambridge University Press India Ptv Limited telah memasuki satu persetujuan di mana Cambridge akan mencetak dan menerbitkan buku teks itu untuk pemerintah Maldives.

Susulan itu, Cambridge membuat tiga bayaran kepada KOL untuk penggunaan naskhah asal buku teks itu.

Pada 4 Februari 2020, Cambridge telah membuat bayaran ketiga sebanyak $205,888 dan KOL perlu membayar $116,671 kepada ITL dan $68,629 kepada madrasah itu.

Pada 7 Februari 2020, Razak memberitahu KOL untuk memindahkan $185,300 kepada akaun ITL, termasuk $68,629 yang sepatutnya diberikan kepada madrasah.

Namun, bahagian madrasah itu akhirnya tidak dipindahkan.

Pada 15 Februari 2020, Razak memberitahu pengarah lain dalam satu mesyuarat lembaga pengarah ITL bahawa syarikat itu “ telah membuat derma tahunan sebanyak $20,000 sejak 2017” kepada madrasah.

Lembaga itu kemudian bersetuju untuk “menderma sebanyak $70,000” kepada madrasah tersebut dan Razak “diberi tugas” untuk mengagihkan “derma” itu kepada Madrasah Irsyad.

Namun, Razak gagal membuat bayaran kepada madrasah hingga 22 Februari 2022 apabila dia menyediakan cek sebanyak $70,000 yang dikeluarkan oleh ITL.

Jumlah ini termasuk $68,629 yang sepatutnya diterima madrasah.

Namun, madrasah tersebut tidak dapat menerima bayaran itu kerana sedang menjalankan semakan urus niaga kewangan antara madrasah itu dengan ITL.

Pada Jun 2022, Razak dipanggil Jabatan Ehwal Komersial (CAD) untuk membantu siasatan mengenai urusan kewangannya dengan madrasah.

Beliau kemudian memindahkan $70,000 daripada akaun ITL kepada KOL pada bulan yang sama.

Menurut dokumen mahkamah, Razak telah didapati menyalahgunakan wang milik madrasah itu secara tidak jujur mulai 7 Februari 2020.

Bagi kesalahan mengakses e-mel madrasah tanpa kebenaran, Razak dikenakan hukuman penjara selama 3 minggu.

Dia juga dikenakan hukuman penjara selama 4 minggu untuk kesalahannya menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

Kededua hukuman tersebut akan berjalan serentak, menjadikannya sebanyak 7 minggu.

Mengulas tentang jenayah komputer itu, Hakim Daerah Kamala berkata:

“Jenayah komputer harus dianggap serius seperti jenayah lain.”

Menurut Hakim Daerah Kamala lagi, jenayah komputer tersebut mampu menjejaskan integriti sistem komputer di Singapura dan hukuman berbentuk pencegahan harus dikenakan.