PEGUAM Encik Charles Yeo Yao Hui, 31, yang juga bekas pengerusi Parti Pembaharuan (RP) gagal hadir di mahkamah daerah pada pagi semalam untuk mewakili anak guamnya dalam perbicaraan melibatkan isu berkaitan imigresen.
Dalam catatan di Instagram Sabtu lalu, Encik Yeo menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk ke United Kingdom bagi mendapatkan suaka politik.
Yeo, yang sebelum ini didakwa atas kesalahan tidak berkaitan termasuk pelbagai tuduhan gangguan dan mengguris perasaan penganut agama Kristian, diberi kebenaran bulan lepas untuk meninggalkan Singapura ke Vietnam untuk bertemu saksi yang dikaitkan dengan perbicaraan semalam.
Beliau kemudian diberikan ikat jamin $10,000.
Beliau juga dibenarkan meninggalkan Singapura pada Rabu lalu dan sepatutnya tiba di sini pada hari Sabtu.
Tetapi mahkamah daerah diberitahu semalam bahawa beliau tidak pulang ke Singapura.
Pendakwa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Encik Syed Mubaruk Sabedeen, yang mengendalikan perbicaraan membabitkan anak guam Yeo, memberitahu Hakim Daerah Marvin Bay bahawa keberadaan Yeo sekarang tidak diketahui.
Anak guam Encik Yeo, Encik Kok Chiang Loong, 41 tahun, yang dituduh melakukan kesalahan termasuk memainkan peranan dalam satu penipuan dalam perkahwinan, memberitahu Hakim Marivin Bay bahawa Encik Yeo telah berjanji untuk hadir ke mahkamah pada hari Isnin.
Encik Kok juga memberitahu bahawa beliau telah cuba menghubungi Encik Yeo tetapi panggilan gagal disambungkan. Encik Kok menambah bahawa beliau cuba menghantar mesej teks kepada Encik Yeo tetapi tidak menerima balasan.
Mahkamah mendengar bahawa beliau berjaya menghubungi S K Kumar Law Practice, tempat Encik Yeo bertugas tetapi diberitahu bahawa beliau tidak hadir ke pejabat pagi semalam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg