Sebagai seorang bekas penghuni rumah tumpangan kanak-kanak Jamiyah Darul Ma’wa dari 1994, Encik Fadli Sidek tinggal di sana bersama beberapa kanak-kanak lain sebelum dipindahkan ke lokasi baru.
Berusia 11 tahun ketika itu, beliau bersama dua adik-beradiknya tinggal di situ sedang mereka membesar dengan keluarga ibu tunggal yang mengalami kesempitan wang selepas bapa mereka meninggal dunia.
Bagaimanapun, rumah tumpangan tersebut tidak lagi berdiri kerana ia telah dirobohkan pada awal 2000-an untuk beri laluan kepada pembinaan jalan.
Dengan minatnya dalam bidang teknologi baru seperti Web3 dan metaverse, beliau bekerjasama dengan seorang rakan dan arkitek metaverse yang ditemui melalui wadah Discord untuk membina semula bangunan asal Darul Ma’wa.
Di situ, mereka ‘memulihkannya’ dalam metaverse, khususnya di platform Decentraland.
Menurut penganalisis risikan berusia 41 tahun itu, beliau didorong nostalgia dan kenangan yang direka di situ dalam membina bangunan maya itu.
“Saya tinggal di Darul Ma’wa selama kira-kira enam tahun dan mempunyai banyak kenangan di situ.
“Saya rasa kehilangan apabila bangunan itu dirobohkan kerana ia seolah-olah sebahagian daripada sejarah terhapus,” kongsinya.
Berpegang teguh pada reka bentuk asal Darul Ma’wa, bangunan tiga tingkat itu mengikut skema warna bangunan, susun atur bilik darjah dan kamar tidur, kantin dan padang tempat mereka beriadah, melakukan aktiviti rekreasi.
Ini sekali gus membolehkan mereka mengalaminya secara maya.
Mengulas tentang rekaan rumah tumpangan itu dengan Berita Harian (BH), Encik Fadli berkongsi bahawa beliau mengambil sekitar lapan bulan untuk menjayakan usaha itu.
Bermula pada Februari 2024, ini termasuk membiayai kos perkhidmatan seorang arkitek metaverse asal Lebanon, Encik Rizk Ghazaly, dan mengkaji prasarana rumah tumpangan itu.
Ia dibahagikan kepada dua fasa – reka bentuk rumah tersebut dan pencarian maklumat tentang Darul Ma’wa daripada artikel lama BH.
Menurut beliau, proses mengumpul maklumat dan gambar, serta merangka pelan rumah tumpangan itu adalah antara yang paling mencabar.
“Memandangkan rumah tersebut wujud pada ‘90-an, saya tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada Internet kerana tidak ada laman atau media sosial ketika itu.
“Mujurlah, rakan-rakan saya yang pernah tinggal di Darul Ma’wa masih ingat sedikit sebanyak susun aturnya dan membantu saya dalam melakarkan lukisan pelan untuk Rizk.
“Oleh kerana rujukan visual terhad, Rizk terpaksa sesuaikan dan mengubah reka bentuk beberapa kali semasa kami bekerjasama untuk merealisasikan visi ini,” ujarnya.
Untuk bolehkan pengunjung belajar tentang sejarah Darul Ma’wa, Encik Fadli berkunjung ke Perpustakaan Daerah Punggol dan mencari artikel lama BH yang dipaparkan di laluan dalam bangunan maya itu.
Tiga hingga empat jam diluangkan beliau di perpustakaan untuk mengkaji dan kemudian memetik artikel tersebut.
Berbanding dengan platform permainan video dunia lain seperti Minecraft dan Roblox, Encik Fadli berkata memilih Decentraland kerana kerja yang dibuatnya di situ boleh kekal disimpan dalam rantaian blok untuk jangka masa panjang.
Menyifatkan projek ini sebagai satu yang berharga, beliau juga berharap bangunan versi maya itu membolehkan bekas kakitangan, penghuni dan pengunjung mengimbau kembali kenangan mereka di situ.
“Suatu hari nanti, saya mungkin alpa dan tidak dapat memberitahu anak-anak saya tentang zaman saya membesar di Darul Ma’wa.
“Walaupun ia sudah tiada, saya boleh menunjukkan kepada mereka seperti tempat saya tinggal dan tidur melalui pemulihan bangunan secara maya ini agar mereka juga boleh melawat dan menghayatinya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg