Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas penghuni Pondok Desa Gelam berkumpul dalam acara Maulid

Mar 1, 2024 | 7:04 PM
Jemaah Masjid Kampong Delta dan bekas penghuni Pondok Desa Gelam selepas majlis Maulid yang diadakan pada 24 Februari sempena Nisfu Syaaban. Majlis itu turut menyaksikan sumbangan derma kepada Lembaga Pentadbir Masjid Kampong Delta, Masjid Desa Gelam di Pulau Bawean dan Dana Kita Prihatin 2024-Pondok Gelam
Jemaah Masjid Kampong Delta dan bekas penghuni Pondok Desa Gelam selepas majlis Maulid yang diadakan pada 24 Februari sempena Nisfu Syaaban. Majlis itu turut menyaksikan sumbangan derma kepada Lembaga Pentadbir Masjid Kampong Delta, Masjid Desa Gelam di Pulau Bawean dan Dana Kita Prihatin 2024-Pondok Gelam - Foto BORHAN SAINI

Alunan zikir mengisi ruang iktikaf Masjid Kampong Delta tatkala jemaah masjid dan bekas penghuni Pondok Desa Gelam berhimpun dalam satu majlis Maulid sempena Nisfu Syaaban pada 24 Februari.

Lebih daripada setakat majlis pertemuan bagi bekas penduduk, ia merupakan wadah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, kata Setiausaha Agung Kehormat Pondok Peranakan Gelam Club, Encik Borhan Saini.

Kelab itu – yang menganjurkan majlis perhimpunan dan Maulid itu – didaftarkan pada 7 April 1932 bersama Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan kini sudah mencecah usia lebih 90 tahun.

Menurut laman rasmi Perpustakaan Negara (NLB), kelab itu berasal daripada penempatan masyarakat Bawean di pondok yang terletak di Club Street, Chinatown, suatu ketika dahulu.

Encik Borhan berkata sumbangan derma yang dikutip daripada bekas penduduk dan jemaah yang hadir disalurkan kepada Lembaga Pentadbir Masjid Kampong Delta, Masjid Desa Gelam di Pulau Bawean dan Dana Kita Prihatin 2024-Pondok Gelam.

Namun, beliau meminta agar jumlah derma terkumpul tidak didedahkan.

Beliau berkata acara seperti itu diadakan secara tahunan untuk mengukuhkan lagi silaturahim bukan sahaja dalam kalangan bekas penduduk Pondok Gelam, malah jemaah luar yang hadir.

“Penting untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain, terutamanya dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita ini.

“Inilah sifat dan contoh yang mesti kita ikuti dari ajaran Rasulullah s.a.w yang menitikberatkan hidup bertoleransi, dalam sekitaran seperti yang kita diami ini,” jelasnya.

Pengerusi Dakwah Pondok Gelam, yang juga imam sambilan di Masjid Kampong Delta, Encik Jumahat Ali, menyifatkan acara kali ini berjaya menarik minat ramai anak muda untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama menjayakan majlis kali ini.

Encik Borhan berkata lebih 200 orang, meliputi anggota kelab dan jemaah masjid, hadir bagi meraikan majlis itu.

Acara itu diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh Encik Rahmat Kader, bacaan berzanji pimpinan Ustaz Hanafi Safie, bacaan tahlil dan syarahan diberikan oleh Ustaz Muhammad Hidayat Mohamad.

“Sambutan yang menggalakan daripada anggota… terhadap kegiatan ini mendorong kami untuk terus menganjurkan kegiatan serupa bagi kemaslahatan masyarakat dan mengukuhkan lagi silaturahim,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg