Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas penolong profesor NUS dijel atas kesalahan dadah

Dec 11, 2024 | 5:41 PM
Jevdic Dorde, 40 tahun, mengaku bersalah pada 11 Disember atas satu pertuduhan mengambil dadah dan satu lagi pertuduhan memiliki kelengkapan dadah.
Jevdic Dorde, 40 tahun, mengaku bersalah pada 11 Disember atas satu pertuduhan mengambil dadah dan satu lagi pertuduhan memiliki kelengkapan dadah. - Foto PIXABAY

Seorang pakar sains komputer yang didapati memiliki kelengkapan dadah di kediamannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhi hukuman penjara selama setahun.

Jevdic Dorde, 40 tahun, mengaku bersalah pada 11 Disember atas satu pertuduhan mengambil dadah dan satu lagi pertuduhan memiliki peralatan dadah.

Satu lagi kesalahan berkaitan dadah turut dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Lelaki asal Serbia itu ditangkap dalam satu serbuan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 4 Ogos 2023.

Pegawai CNB menemui straw, tiub getah dan corong kaca yang Dorde akui digunakan untuk menyedut metamfetamin, atau Ice.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheah Wenjie berkata Dorde dibebaskan melalui ikat jamin pada hari yang sama dia ditangkap selepas memberikan dua sampel air kencing untuk ujian.

Sampel air kencingnya didapati mengandungi derivatif cannabinol dan Dorde mengaku mengambil ganja 10 hari sebelum ditangkap, lapor The Straits Times (ST).

Dorde, yang ketika itu bertugas sebagai penolong profesor di NUS, memberitahu pihak penyiasatan bahawa dia mula mengambil ganja pada awal 2020 dan tabiatnya bermula selepas menerima butiran hubungan seorang pembekal dadah.

Dia turut mengaku menggunakan peralatan di kediamannya untuk mengambil Ice bersama orang lain kira-kira sebulan sekali.

Dorde, yang diwakili Encik Gino Hardial Singh dari Abbots Chambers, berkata anak guamnya menghidap gangguan kemurungan utama (MDD) dan masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD), justeru Dorde mengambil ‘ubat’ tersebut untuk mengatasi masalahnya.

DPP Cheah berkata dakwaan penggunaan ubat secara sendiri adalah berbahaya dan tidak sepatutnya diberi pertimbangan untuk meringankan hukuman pesalah, kerana ia mencadangkan bahawa pengambilan bahan haram dibenarkan jika seseorang menghidap penyakit yang sama.

“Saya rasa perkara yang lebih penting adalah kedua-dua kemurungan dan ADHD bukanlah penyakit yang jarang ditemui di Singapura. 

“Terdapat pelbagai cara untuk menangani keadaan ini selain mengambil bahan yang dilarang,” jelas DPP Cheah.

Pada 11 Disember, NUS berkata Dorde, yang digantung tugas sejak Ogos 2023, telah diberhentikan kerja.

“Semua kakitangan NUS dikehendaki mengekalkan tahap profesionalisme dan tingkah laku peribadi yang tinggi, termasuk mematuhi undang-undang dan peraturan Singapura,” jelas jurucakap NUS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg