Bekas pesakit Covid-19 masih perlu dapat pengecualian ujian untuk makan luar
Bekas pesakit Covid-19 masih perlu dapat pengecualian ujian untuk makan luar
MEREKA yang sudah pulih daripada Covid-19 selama 270 hari masih perlu mendapatkan notis pengecualian untuk ujian praacara (PET) sah jika ingin menjamu selera di kedai makanan dan minuman (F&B), kata Kementerian Kesihatan (MOH).
MOH berkata individu yang sudah pulih tidak tergolong secara automatik dalam kategori individu yang sudah divaksin sepenuhnya, sedang Singapura mula mengadakan langkah membezakan masyarakat berdasarkan status vaksinasi.
Pasukan bertindak bagi mengekang penularan Covid-19 berkata Jumaat lalu, individu yang belum divaksin tetapi mempunyai hasil ujian PET negatif yang sah atau individu yang sudah pulih dianggap mempunyai risiko lebih rendah, serupa dengan individu yang sudah menerima vaksin sepenuhnya.
Justeru, mereka dibenarkan makan luar dalam kumpulan lima orang.
Penduduk yang divaksin di luar negara dengan vaksin di bawah senarai kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) harus menyediakan bukti dokumen dan menjalani ujian darah di tempat yang diluluskan untuk mengesahkan vaksinasi mereka berkesan, kata MOH.
Setelah ujian serologi yang positif diperolehi, status vaksin mereka dalam Pejabat Pendaftaran Imunisasi Nasional (NIR) akan dikemas kini dan ditunjukkan di aplikasi TraceTogether dan HealthHub.
Maklumat lanjut mengenai perkara ini termasuk senarai penyedia khidmat ujian yang diluluskan, boleh didapati di laman MOH.
Bagi pemegang pas jangka pendek yang divaksin di negara lain, proses yang berlainan sedang diusahakan agar status vaksin mereka dapat dimasukkan dalam NIR, kata MOH.
"Salinan cetak sijil vaksinasi luar negara tidak akan diterima bagi langkah pengurusan selamat yang dibezakan mengikut status vaksinasi," katanya.
"Ini kerana ia lebih sukar bagi setiap syarikat untuk mengesahkan kesahihan sijil tersebut boleh ditampilan dalam format dan bahasa yang berlainan."
Dalam kenyataan MOH itu juga, ia menjelaskan definisi kedai kopi.
Mulai semalam, individu yang belum divaksin sepenuhnya hanya boleh menjamu selera hingga dua orang semeja di pusat penjaja dan kedai kopi.
Ini termasuk tempat F&B yang mempunyai kedai kopi, tempat makan atau lesen kantin yang diberikan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA), jelas MOH.
"Kami menggalak individu yang tidak divaksin untuk makan di lokasi tersebut dengan menjaga kebersihan dengan teliti, dan tidak berada lama di sana setelah makan, untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti Covid-19," tambah MOH.
Bagi yang sudah divaksin sepenuhnya - di mana status hanya bermula dua minggu selepas tarikh menerima dos kedua vaksin - mereka dibenarkan untuk menjamu selera di luar hingga lima orang bermula semalam.
Status vaksin kesemua penduduk Singapura yang telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty atau Moderna di Singapura akan dikemas kini dalam NIR dan dipaparkan di aplikasi TraceTogether dan HealthHub, yang akan membolehkan perniagaan untuk mengesahkan status vaksinasi pelanggan dengan lebih mudah.
Mereka yang telah menerima vaksin Sinovac di Singapura boleh mengakses rekod vaksinasi mereka di aplikasi HealthHub dan TraceTogether bermula semalam, kata MOH.

