Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pesalah, warga S'pura dibelenggu hutang perlu sokongan holistik
Bekas pesalah, warga S'pura dibelenggu hutang perlu sokongan holistik
WALAUPUN Belanjawan 2023 telah memperkenalkan langkah meluas, sokongan lebih kukuh patut diberikan kepada segmen masyarakat yang berada dalam keadaan lebih mencabar seperti bekas pesalah, dan warga Singapura yang berhutang dalam membina daya tahan mereka, kata Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Dalam perbahasan Belanjawan 2023 yang dibentangnya di Parlimen pada Khamis, Cik Mariam berkata sokongan yang diberikan kepada bekas pesalah harus lebih holistik.
Satu ruang di mana bekas pesalah memerlukan lebih bantuan ialah perumahan, tambahnya sambil menekankan peranan besar yang dimainkan sekitaran rumah dalam membentuk keazaman, keyakinan dan sokongan bagi individu.
"Ramai bekas pesalah bernasib baik untuk kembali tinggal bersama keluarga mereka yang menjadi tunggak sokongan dalam perjalanan integrasi yang sukar. Tetapi ramai juga mengalami peralihan dari penjara ke sekitaran rumah yang kurang ideal, atau dibuang oleh keluarga mereka yang tidak mahu ada kena mengena lagi dengan mereka," ujarnya.
Program campur tangan awal bagi isu perumahan, malah sebelum pembebasan mereka, dan lebih fleksibiliti dalam melakarkan syarat kelayakan, akan membantu bekas pesalah mendapatkan peluang yang lebih baik dalam proses integrasi semula dan mengubah kehidupan mereka.
Bagaimanapun, Cik Mariam mengalu-alukan Kredit Peningkatan Pekerjaan yang diumumkan pada Belanjawan 2023 bagi membantu bekas pesalah.
Skim tersebut bertujuan menggalak syarikat menggajikan bekas pesalah.
Dalam pada itu, beliau menyentuh tentang golongan warga Singapura yang bergelut dengan hutang.
Hutang bukan sahaja masalah kewangan tetapi juga boleh menjadi semakin buruk sehingga memecahbelahkan hubungan dan keluarga, katanya.
"Mungkin lebih banyak boleh dilakukan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai skim bayaran balik hutang dan pengurusan hutang, serta memberikan lebih banyak kaunseling dan sokongan kepada individu ini," ujarnya.
Beliau mencadangkan agar usaha bermula daripada masyarakat, melabur lanjut ke arah membina keupayaan kewangan.
"Memandangkan daya tahan kewangan merupakan bahagian amat penting dalam membina daya tahan peribadi, saya menggesa pemerintah agar memperkukuh lanjut program keupayaan kewangan nasional, contohnya dengan menyasarkan segmen tertentu yang mempunyai keupayaan kewangan lebih rendah, seiring dengan rangka kerja perlindungan pengguna yang lebih kukuh," tambah beliau.
Pada Khamis, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Shahira Abdullah telah mengutarakan keprihatinan tentang Pelepasan Cukai Anak bagi Ibu Bekerja (WMCR) yang diubah dari pengiraan berasaskan peratusan kepada jumlah tetap.
Walaupun beliau hargai tujuannya memberi lebih sokongan kepada ibu bekerja yang berpendapatan rendah dan pertengahan, beliau mempersoalkan sama ada ia akan menghalang golongan ibu berpendapatan pertengahan atasan daripada mempunyai lebih ramai anak.
Dr Shahira juga menyuarakan tentang pentingnya sokongan yang lebih bagi golongan ibu tunggal yang tidak berkahwin.
Beliau berkata pemerintah perlu mempertimbang kesan dasar tertentu, contohnya WMCR dan Rebat Cukai Keibubapaan (PTR).
"Adalah penting untuk diingat bahawa langkah-langkah yang menghukum ibu tunggal atau meninggalkan mereka daripada faedah seluruh masyarakat, akhirnya tidak hanya menghukum wanita ini tetapi juga anak- anak mereka," tambahnya.