BEKAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, melahirkan sokongannya ke atas pendakwah Abdul Somad Batubara, sambil mengatakan bahawa menyokong pelampau seperti pendakwah itu tidak sama seperti menyokong kumpulan militan ISIS.

Zulfikar berkata demikian menerusi laman Facebooknya, Fikrah Siyasah, berikutan laporan media mengenai kenyataan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.

"Setahu saya, tiada apa-apa yang mengaitkan UAS (Abdul Somad) dengan ISIS," kata Zulfikar, dalam catatannya itu.

Semasa bertemu media pada Isnin (23 Mei). Encik Shanmugam mendedahkan seorang remaja berusia 17 tahun yang ditahan di bawah ISA merupakan penyokong tegar ISIS dan pendakwan Abdul Somad.

Pendakwah asal Indonesia itu tidak dibenarkan masuk ke Singapura atas ajarannya yang bersifat ekstremis dan pengasingan.

Dalam kenyataannya, MHA berkata Abdul Somad telah ditemu bual sebaik beliau tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam pada 16 Mei lalu.

Berikutan temu bual tersebut, beliau bersama enam teman perjalanannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang ke Batam dalam sebuah feri pada hari yang sama.

Zulfikar ditangkap dan ditahan di bawah ISA pada Julai 2016 atas kegiatan berkaitan pengganasan dan juga kerana menjadikan radikal sekurang-kurangnya dua warga Singapura.