SEORANG bekas timbalan ketua di Kementerian Kesihatan (MOH) semalam dituduh membocorkan bilangan kes Covid-19 harian di Singapura sebanyak 22 kali tahun lalu.
Zhao Zheng, 36 tahun, yang berperanan sebagai timbalan ketua Unit Pengurusan Data di MOH, menghadapi 25 tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Dia ditangkap April tahun lalu.
Turut didakwa bersama Zhao ialah rakannya, Tang Lin, 36 tahun, yang dituduh memohon maklumat yang tidak dibenarkan kerana meminta Zhao memeriksa kedudukan seorang pesakit Covid-19. Tang berdepan 10 tuduhan di bawah OSA.
Dalam satu kenyataan kelmarin, polis berkata ia menerima laporan daripada pihak awam pada 16 April tahun lalu yang menyatakan bilangan kes Covid-19 harian di Singapura dibocorkan dalam talian sebelum MOH mengumumkannya.
Siasatan menunjukkan Zhao berkongsi maklumat itu 22 kali antara Mac dengan April tahun lalu bersama anggota kumpulan sembang tidak diberi kebenaran menerima maklumat tersebut.
Lagi 64 orang yang menerima atau menyebarkan maklumat itu akan diberi amaran keras atau nasihat bertulis mengenai kesalahan di bawah OSA.
Kesalahan menyebar maklumat tidak dibenarkan di bawah OSA membawa hukuman denda hingga $2,000 dan penjara hingga dua tahun.
Penerima tidak diberi kebenaran membaca maklumat sedemikian dinasihati polis menghapuskanya dan jangan menyebarkannya, kerana mereka juga boleh didapati bersalah di bawah OSA.
Zhao dan Tang masing-masing ditawar ikat jamin $10,000 dan $5,000. Mereka dijangka menghadap mahkamah lagi pada 5 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg