
BEKERJA dari rumah akan terus menjadi cara bekerja bagi pekerja walaupun Singapura akan membuka kembali ekonominya mulai Jumaat (18 Jun), kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Isnin (15 Jun).
Bekerja secara 'telecommuting' penting untuk mencegah penyebaran Covid-19, tambahnya pada sidang media maya yang mengumumkan perincian langkah Singapura memasuki Fasa Kedua.
"Kami akan meminta semua majikan menjadikan bekerja dari rumah atau telecommuting sebagai cara bekerja," kata beliau.
"Oleh itu jika lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka semula, majikan harus terus memastikan pekerja yang boleh bekerja dari rumah terus bekerja dari rumah," kata Encik Wong, pengerusi bersama pasukan bertindak pelbagai kementerian menangani Covid-19.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media mengenai bekerja dari rumah semasa Fasa Dua pembukaan semula ekonomi Singapura yang bermula Jumaat ini (18 Jun).
Dalam fasa tersebut kebanyakan kegiatan akan dibenakan termasuk makan di pusat-pusat makanan dan minuman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg