SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Belajar bidang jurutera, tapi kerjaya tukang gunting rambut

Belajar bidang jurutera, tapi kerjaya tukang gunting rambut

Aug 25, 2020 | 5:30 AM

Belajar bidang jurutera, tapi kerjaya tukang gunting rambut

TIDAK MAHU DIPANDANG RENDAH: Encik Md Alif Sianipar Amir Sjarifuddin Sianipar, merupakan lulusan diploma dalam proses perniagaan dan kejuruteraan sistem tetapi memilih menceburi bidang yang digemarinya sejak remaja iaitu menjadi tukang gunting rambut. - Foto BH oleh GIN TAY
TIDAK MAHU DIPANDANG RENDAH: Encik Md Alif Sianipar Amir Sjarifuddin Sianipar, merupakan lulusan diploma dalam proses perniagaan dan kejuruteraan sistem tetapi memilih menceburi bidang yang digemarinya sejak remaja iaitu menjadi tukang gunting rambut. - Foto BH oleh GIN TAY -

CITA-CITANYA menjadi tukang gunting rambut pernah dipandang rendah oleh sesetengah orang.

Malah, mereka meragui sama ada kerjaya tersebut boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan atau sekadar cukup makan sahaja untuk bertahan dengan kos kehidupan Singapura.

Namun ia tidak menghambat semangat Encik Md Alif Sianipar Amir Sjarifuddin Sianipar, sama sekali untuk menceburi bidang yang digemarinya sejak remaja lagi meskipun ia jauh beza dengan apa yang dipelajarinya di sekolah.

Lulusan diploma dalam proses perniagaan dan kejuruteraan sistem yang berusia 22 tahun itu berkata:

"Masih terdapat sesetengah orang yang tidak tahu bahawa lebih ramai yang sanggup bayar harga lebih tinggi untuk potongan rambut yang baik.

"Tetapi melebihi gaji sendiri, saya memang minat terhadap seni memotong rambut."

Beliau berkongsi bahawa harga potongan rambut yang baik boleh melebihi $30.

Menceritakan pengalaman bagaimana minat terhadap seni menggunting rambut tercetus, Encik Md Alif berkata sejak kecil, ayahnya sering menggunting rambutnya.

Namun pada usia 15 tahun, beliau mahukan stail rambut berbeza dan cuba memotong rambut sendiri.

Di samping menonton video di YouTube, anak muda itu kemudian 'bereksperimen' dengan rambut rakan-rakannya dan memotong rambut mereka secara percuma bagi tujuan mengasah kemahirannya.

Ini dilakukan ketika masa lapang memandangkan beliau masih bersekolah lagi.

"Lama-kelamaan, rakan-rakan saya mahu beri bayaran kerana berpuas hati dengan hasil kerja saya," tambahnya yang baru sahaja tamat Perkhidmatan Negara.

Menurut Encik Md Alif, menggunting rambut bukan sesuatu yang boleh dilakukan semua orang.

Ia ibarat seni dan memerlukan kemahiran.

Sejak sebulan lalu, beliau menjalani latihan sebagai perantis di Kedai Gunting Rogue and Beyond yang terletak di 147A Telok Ayer St dan mempunyai rancangan untuk bekerja sepenuh masa di situ kelak.

Ketika ditanya apa menjadi ukur taranya bagi kepuasan kerjaya, anak bongsu dalam tiga adik-beradik itu berkata "rasa diinspirasi, gembira dan menikmati pekerjaan itu".

Impiannya adalah untuk menjadi salah satu tukang gunting rambut yang paling diiktiraf di Singapura dan juga persada antarabangsa, namun berkata beliau mahu mengambil ini semua langkah demi langkah memandangkan beliau baru sahaja mengorak langkah dalam kerjaya tersebut.

"Pada mulanya saya mempunyai pemikiran bahawa duit itu tidak penting sangat, tetapi setelah menjalani Perkhidmatan Negara dan lebih berdikari, saya sedar bahawa duit itu juga penting. Justeru, dalam mengejar minat, perlu untuk ada keseimbangan juga dengan duit yang dapat diraih. Memang sukar untuk mencapai keadaan itu, tetapi saya bernasib baik," kata Encik Md Alif lagi.

Beliau menasihati agar anak muda di luar sana mencari sesuatu bidang yang mereka minat dan memastikan dapat meraih pendapatan daripadanya.

"Sejujurnya saya berharap mereka yang baru sahaja tamat persekolahan dan tamat Perkhidmatan Negara atau sebagainya dapat mencari pekerjaan yang mereka suka," ujar Encik Md Alif.

"Pada mulanya saya mempunyai pemikiran bahawa duit itu tidak penting sangat, tetapi setelah menjalani Perkhidmatan Negara dan lebih berdikari, saya sedar bahawa duit itu juga penting. Justeru, dalam mengejar minat, perlu untuk ada keseimbangan juga dengan duit yang dapat diraih. Memang sukar untuk mencapai keadaan itu, tetapi saya bernasib baik." - Encik Md Alif Sianipar Amir Sjarifuddin Sianipar.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg