Pejam celik, pejam celik, sudah setahun saya bekerja di Berita Harian (BH).
Pada 2024 ini penuh dengan pelbagai cabaran dan peluang pembelajaran yang saya sangat hargai.
Tetapi yang paling penting saya amat bersyukur atas kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa saya untuk menentukan hala tuju, baik untuk sekolah atau pekerjaan.
Saya masih ingat apabila saya berumur 16 tahun dan bercita-cita untuk menjadi seorang wartawan.
Saya membuat penyelidikan sendiri untuk mencari kursus yang sesuai dengan apa yang mahu dipelajari.
Lantas saya pun memohon melalui Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE) di Politeknik Temasek dan berjaya.
Ibu bapa saya sentiasa percaya dan menyokong setiap keputusan yang saya buat.
Saya juga selalu berunding dengan mereka jika saya memerlukan nasihat dan meminta doa mereka untuk merestui keputusan yang telah saya buat.
Kebebasan ini bukan sahaja mengajar saya berdikari, malah memupuk rasa tanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat.
Perjalanan saya untuk bertugas dengan BH bukanlah sesuatu yang dirancang secara terperinci.
Selepas tamat pengajian di universiti, saya menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan sesuai.
Namun, dengan sokongan keluarga dan keyakinan diri, saya tidak berputus asa. Akhirnya, saya mendapat peluang bekerja dengan BH, sebuah syarikat yang saya kagumi sejak sekian lama.
Setahun di BH telah memberi saya pelbagai pengalaman berharga.
Dari hari pertama saya melangkah masuk ke pejabat, saya disambut dengan mesra oleh rakan sekerja yang sentiasa bersedia untuk membantu.
Setiap cabaran yang dihadapi, saya anggap sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.
Saya juga belajar tentang pentingnya kerja berpasukan dan komunikasi yang berkesan.
Dalam setiap projek, kerjasama dan koordinasi dengan rakan sekerja adalah kunci kejayaan.
Saya belajar untuk mendengar pandangan orang lain, memberi dan menerima maklum balas, serta bekerja rapat untuk mencapai matlamat bersama.
Pengalaman ini bukan sahaja memperkayakan kemahiran profesional saya, malah membentuk saya menjadi individu yang lebih matang dan bijak dalam menguruskan hubungan sesama manusia.
Sebagai salah seorang pekerja muda di BH, saya sering berasa sedikit takut dalam menjalankan tugas-tugas harian.
Namun, apabila saya merenung kembali pengalaman sepanjang setahun ini, saya menyedari bahawa ada hikmah di sebaliknya.
Dikelilingi rakan-rakan sekerja yang lebih berpengalaman, saya diberi peluang belajar daripada yang terbaik dalam industri ini.
Walaupun saya muda, mereka sentiasa melayan saya secara serius sebagai seorang pekerja, tidak pernah meremehkan kemampuan saya.
Mereka dengan rela membantu dan memberi bimbingan setiap kali diperlukan. Pengalaman ini telah memberi saya keyakinan dan kekuatan untuk terus maju.
Saya amat bersyukur. Setiap langkah, setiap keputusan, dan setiap cabaran yang dihadapi telah membentuk saya menjadi siapa saya hari ini.
Saya berterima kasih kepada ibu bapa saya yang memberi kebebasan untuk mengejar impian saya, kepada rakan-rakan sekerja yang sentiasa menyokong dan memberi peluang untuk saya berkembang.
Saya berharap untuk terus belajar dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg