Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelajar urus wang, bangun awal antara persiapan ‘bayi Covid’ masuk Darjah 1
Si anak membesar jadi seorang yang petah dan berani bersuara, kata ibunya
Belajar urus wang, bangun awal antara persiapan ‘bayi Covid’ masuk Darjah 1
“Berapa lama lagi sebelum saya masuk Horizon Primary?” soalan yang sering ditanyakan Aa’liya Nur Zaira Mohamad Zahid kepada ibunya.
Begitu terujanya Zaira, enam tahun, untuk melangkah ke Darjah Satu di Sekolah Rendah Horizon pada 2027.
Namun, di sebalik sifatnya yang kini yakin dan mudah bergaul, ibunya, Cik Suhaidah Ramli, 39 tahun, masih teringat tahun-tahun awal kehidupan Zaira dalam suasana pandemik Covid-19.
Dilahirkan pada 2020, interaksi Zaira pada tahun-tahun awalnya banyak terbatas kepada anggota keluarga terdekat akibat sekatan ketika pandemik.
Ketika itu, keluarganya menetap bersama ibu bapa Cik Suhaidah selepas rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka mengalami kelewatan.
Rancangan untuk meraikan ulang tahun pertama Zaira juga terpaksa dibatalkan.
“Hanya apabila berusia tiga tahun, Zaira dapat menikmati sambutan hari lahir yang lebih besar bersama abangnya,” kongsi Cik Suhaidah, seorang suri rumah.
Suaminya pula merupakan anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Cik Suhaidah percaya pengalaman membesar ketika orang dewasa di sekelilingnya sering memakai pelitup muka mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi cara Zaira menyebut sesetengah perkataan.
“Saya rasa mungkin ada sedikit kesan sebab ketika kami bercakap dengannya dahulu, kebanyakan masa kami memakai pelitup muka.
“Jadi, dia tak dapat lihat cara kita cakap dengan jelas bagaimana bentuk dan pergerakan mulut kami ketika menyebut perkataan,” katanya.
Sehingga kini, Zaira kadangkala masih kurang jelas ketika menyebut sesetengah perkataan.
Cik Suhaidah akan mengingatkannya supaya memperlahankan percakapan dan menyebut perkataan dengan lebih jelas agar mudah difahami.
Namun, dari segi pergaulan, beliau tidak melihat Zaira berdepan kesukaran.
“Dia membesar menjadi seorang yang petah dan berani bersuara, ini mungkin kerana Zaira banyak diajak berbual oleh anggota keluarga ketika menghabiskan masa bersama di rumah.”
Kini, perhatian mereka beralih kepada persiapan memasuki Darjah Satu.
Dari segi akademik, Cik Suhaidah yakin Zaira mempunyai asas Bahasa Inggeris dan Matematik yang baik.
Bahasa Melayu bagaimanapun masih menjadi cabaran kerana ia jarang digunakan di rumah.
Zaira turut menyertai program Ready Set Learn Math Explorer kendalian Yayasan Mendaki, yang menurut ibunya membantu memupuk minatnya terhadap Matematik sejak kecil.
Namun, persediaan Cik Suhaidah tidak tertumpu kepada akademik semata-mata.
Semasa cuti September, beliau mula memperkenalkan wang kepada Zaira menerusi permainan lakonan membeli barang bagi mengajarnya mengendalikan wang sendiri.
“Saya juga sedang membiasakan Zaira dengan rutin bangun awal sebagai persediaan menghadapi jadual sekolah mulai Januari.”
Cik Suhaidah bagaimanapun memilih untuk tidak menghantar anaknya ke terlalu banyak kelas untuk mempersiapkan diri ke Darjah Satu.
“Bagi saya, dia masih seorang kanak-kanak dan perlu menikmati zaman kanak-kanaknya, bukan berada dalam study mode sepenuhnya sebelum masuk sekolah rendah,” katanya.
Melihat Zaira kini membuatkan Cik Suhaidah teringat betapa berbezanya kehidupan anak kecil yang membesar dalam ketidakpastian pandemik enam tahun lalu.
“Kadang-kadang apabila saya tengok dia bersiap untuk sekolah atau dengan bangganya tunjuk apa yang dia sudah pelajari, saya sedar ‘bayi Covid’ saya kini hampir masuk Darjah Satu. Saya sangat bangga melihat dia semakin yakin, berdikari dan berani mencuba,” luah si ibu.
