Topic followed successfully
Go to BHkuBelanjawan 2023: Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan secara bertahap daripada $6,000 kepada $8,000 jelang 2026
Belanjawan 2023: Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan secara bertahap daripada $6,000 kepada $8,000 jelang 2026
Belanjawan 2023: Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan secara bertahap daripada $6,000 kepada $8,000 jelang 2026
PEMERINTAH akan meningkatkan had pendapatan bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) secara bertahap daripada $6,000 kepada $8,000 menjelang 2026. Dilaksanakan mulai September 2023, langkah itu bertujuan membantu warga Singapura berpendapatan pertengahan untuk mengetepikan lebih banyak wang bagi persaraan. Mengumumkan langkah itu pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata kenaikan itu akan dilaksanakan secara bertahap dalam tempoh empat tahun bagi membolehkan majikan dan pekerja untuk membuat penyesuaian kepada perubahan itu. "Had pendapatan CPF kali terakhir dinaikkan pada 2016. "Sejajar dengan gaji yang meningkat, kami akan meningkatkan had pendapatan bulanan daripada $6,000 kepada $8,000 pada 2026," kata Encik Wong. Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2023. Had pendapatan bulanan CPF menetapkan jumlah maksimum sumbangan CPF yang perlu dibayar bagi gaji biasa.
- Bayaran minimum bulanan RSS dinaikkan kepada $350
Encik Wong pada Selasa turut mengumumkan pemerintah akan menaikkan bayaran bulanan CPF minimum daripada $250 kepada $350 mulai 1 Jun 2023 bagi semua warga emas di bawah Skim Jumlah Persaraan (RSS).
- Kadar sumbangan CPF pekerja warga emas dinaikkan
Pekerja warga emas akan terus meraih sumbangan CPF yang lebih tinggi. Pemerintah akan meneruskan rancangan untuk melaksanakan kenaikan seterusnya kepada kadar sumbangan CPF bagi pekerja berusia 55 tahun ke atas pada 2024. Kenaikan tersebut ialah sebanyak 1 hingga 1.5 mata peratusan.

