BELANJAWAN 2023 bukan sahaja membantu masyarakat mengatasi isu semasa seperti inflasi dan kos kehidupan, bahkan juga dalam menangani keprihatinan jangka sederhana serta jangka panjang. Ini termasuk aspek mendukung keluarga serta merebut peluang dalam era pascapandemik, menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Ketika ditemui Berita Harian setelah pembentangan Belanjawan 2023 di Bangunan Parlimen pada Selasa, Encik Masagos berkata keluarga merupakan unit yang sangat dasar dalam negara. "Kalau keluarga kuat, tekal dalam menghadapi pelbagai cabaran keluarga dan pekerjaan dan sebagainya, negara juga akan kuat.
"Kita harus mula apabila keluarga itu mula mendapat anak dan ingin menyara hidup sebagai keluarga yang baru. Sebab itu pemerintah akan beri sokongan yang lebih kepada mereka yang masih muda," ujarnya. Encik Masagos melahirkan harapan agar ini akan menggalakan lebih ramai orang untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga lebih besar dalam tahun-tahun mendatang. Beliau turut memberi jaminan bahawa perjalanan sebuah keluarga di Singapura akan mendapat sokongat kuat dan menyeluruh. "Kita akan membuat pelbagai rombakan dasar supaya akhirnya kami harap semua pasangan atau bakal pasangan melihat Singapura ini adalah Singapura yang sesuai dan menyokong keluarga," tambahnya. Encik Masagos turut mengutarakan mengenai usaha pemerintah untuk memberi tokokan kepada Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), dan berharap lebih ramai anggota masyarakat akan memanfaatkan langkah ini. "Ramai daripada masyarakat kita kurang kemahiran, atau ada kemahiran, tapi dalam bidang pekerjaan tersebut sudah pun pupus. usteru, perlu untuk mereka meningkatkan kemahiran mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik," ujarnya. Beliau melahirkan harapan agar masyarakat dapat bekerjasama dengan kesatuan sekerja untuk mengenal pasti bidang-bidang yang ada peningkatan baru dan diberikan dana untuk peningkatan kemahiran. Encik Masagos turut menukil contoh pekerjaan platform yang mungkin dipandang sebagai lumayan, namun beliau menekankan kepentingan bagi golongan ini beralih ke pekerjaan lebih stabil yang dapat memberi mereka simpanan, membolehkan mereka untuk memiliki rumah dan untuk persaraan apabila mereka tua nanti. Mengulas tentang bantuan pemerintah untuk memberi tokokan $10 juta kepada kumpulan badan bantu diri sepanjang tiga tahun akan datang, Encik Masagos berkata ia satu keperluan kerana badan seperti Mendaki memerlukan dana tambahan demi memperluas lagi program yang boleh memanfaatkan masyarakat dan juga memperbanyakkan lagi peserta dalam program mereka. "Saya harap dengan adanya peningkatan tersebut, ini akan memberi sokongan yang lebih baik hinggakan kita akan melihat peningkatan dari segi pendidikan, dari segi motivasi anak kita dari mereka lahir sampailah mereka jadi remaja dan setelah itu mereka menjadi siswazah dan sebagai nya," tambah beliau. Encik Masagos turut menggambarkan komitmen pemerintah dalam membantu masyarakat. Belanjawan tahun ini memakan perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu. "Kita juga harus peka bahawa Belanjawan kali ini mengalami defisit, iaitu kita akan belanja lebih daripada apa yang kita raih daripada cukai dan sebagainya kerana kita masih dalam keadaan keluar daripada Covid-19," ujar Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg