Topik diikuti
Pergi ke BHkuBeli hartanah dekat stesen MRT: 8 penjawat awam dirujuk polis
Beli hartanah dekat stesen MRT: 8 penjawat awam dirujuk polis
Lapan pegawai perkhidmatan awam telah dirujuk kepada polis di tengah-tengah semakan pemerintah terhadap transaksi hartanah berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan oleh penjawat awam, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Pegawai berkenaan dikenal pasti menerusi siasatan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) terhadap pegawai daripada agensi yang terlibat dalam perancangan laluan kereta api dan yang telah membuat pembelian hartanah antara 2007 dengan 2014 berdekatan lokasi yang kemudiannya diumumkan sebagai stesen MRT.
Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) pada 6 Oktober, Encik Chan berkata perkara ini mungkin disebabkan oleh keadaan khusus di sebalik pembelian tersebut, atau kerana perkhidmatan awam pada masa ini tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mengecualikan kes-kes berkenaan daripada semakan lanjut.
“Kami telah merujuk kes-kes ini kepada pihak polis.
“Biar saya tegaskan bahawa rujukan tidak bermakna salah laku telah terbukti berlaku.
“Polis akan meneliti fakta-fakta kes secara bebas, dan proses undang-undang yang sewajarnya akan mengikutinya,” kata beliau.
Kes tersebut kali pertama mendapat perhatian menyusuli penerbitan kertas penyelidikan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mendakwa penjawat awam di Singapura membeli rumah pada kadar tidak seimbang di kawasan berhampiran stesen MRT yang belum diumumkan kepada orang ramai.
Pada 25 September, PSD menyatakan pemerintah sedang menjalankan penelitian untuk menilai sama ada wujud salah laku sebenar yang membabitkan penjawat awam yang terlibat, dan sedang dalam proses mengenal pasti pembelian hartanah yang dibuat dari 2007 hingga 2011.
Encik Chan berkata PSD telah memeriksa rekod sedia ada bagi setiap transaksi pembelian.