Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia bangkit isu AI, pekerjaan dan keseimbangan pembangunan dengan pemeliharaan sekitaran
Belia bangkit isu AI, pekerjaan dan keseimbangan pembangunan dengan pemeliharaan sekitaran
Belia bangkit isu AI, pekerjaan dan keseimbangan pembangunan dengan pemeliharaan sekitaran
Kebimbangan terhadap penggunaan AI generatif secara berlebihan
Sebahagian peserta membangkitkan keprihatinan mereka mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif yang semakin meluas dan bagaimana sikap yang terlalu bergantung pada teknologi itu boleh menjejas keupayaan mental serta keupayaan mereka untuk berfikir secara sendiri.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan pekerjaan terjejas, khususnya dalam sektor yang tugasnya boleh diambil alih AI, selain jurang akses kepada teknologi dan peluang.
Pemeliharaan hutan dan kehilangan biodiversiti
Pemeliharaan hutan dan kehilangan biodiversiti turut dibangkitkan, khususnya mengenai keperluan mengimbangi pembangunan dengan perlindungan alam sekitar.
Sebahagian peserta menyuarakan keprihatinan bagaimana Singapura boleh terus membangun sambil memelihara kawasan semula jadi dan biodiversitinya.
Sebagai respons, para panelis yang diketuai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan keperluan mencari pendekatan yang praktikal dan kreatif untuk mengimbangi pelbagai keperluan, termasuk mencari cara melindungi alam semula jadi sambil memanfaatkan tanah dan sumber yang terhad.
Kekurangan ruang bermain untuk kanak-kanak
Ruang mudah diakses yang berkurangan untuk kanak-kanak dan golongan muda bermain, khususnya kawasan terbuka yang membolehkan mereka meluangkan masa di luar rumah turut diperbincangkan.
Seorang belia berkata kegiatan seperti bermain bola sepak di kolong blok atau kawasan lapang kini mungkin lebih sukar dilakukan disebabkan aduan dan sekatan.
Beliau turut menyarankan agar sebahagian kawasan hijau yang belum dibangunkan, termasuk Hutan Clementi, dipertimbangkan sebagai ruang yang boleh memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda untuk bermain.
Sebagai respons, Anggota Parlimen bagi GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, berkata pemerintah sedang mewujudkan lebih banyak ruang mesra keluarga, tetapi menekankan bahawa penyediaan prasarana fizikal sahaja tidak mencukupi.
Melebihi usaha tersebut, Cik Nadia berkata masyarakat juga boleh memanfaatkan ruang sedia ada dan menganjurkan kegiatan untuk keluarga, manakala golongan muda yang terlibat dalam kerja akar umbi boleh membantu menghimpunkan keluarga dan kanak-kanak dalam masyarakat.
Perwakilan Melayu/Islam dalam kepimpinan kanan
Perwakilan Melayu/Islam dalam kepimpinan kanan, termasuk dalam pengurusan kanan dan lembaga pengarah syarikat turut ditimbulkan.
Peserta juga menyeru agar lebih banyak laluan diwujudkan bagi golongan muda membangunkan diri sebagai pemimpin masa depan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang kepimpinan yang tersedia melalui pertubuhan Melayu/Islam tidak semestinya diketahui secara meluas dalam kalangan golongan muda, berbanding peluang yang ditawarkan melalui program belia nasional yang lebih luas. Ada belia juga menyeru agar usaha yang lebih tersusun dan menyeluruh dilakukan untuk membina saluran kepimpinan dalam masyarakat.
Selain itu, seorang belia tampil untuk menekankan pentingnya perwakilan Melayu/Islam dalam jawatan kepimpinan kanan, sambil berkata individu daripada latar belakang berbeza membawa perspektif yang berbeza dan wajar diberi peluang untuk menyumbang dalam jawatan kepimpinan.
Sebagai respons, Cik Rahayu berkata perwakilan tidak seharusnya dikejar semata-mata untuk memenuhi jumlah tertentu orang Melayu dalam sektor tertentu.
Sebaliknya, beliau menekankan pentingnya menyokong mereka yang sudah berada dalam bidang masing-masing untuk membina keupayaan dan maju dalam kerjaya, sambil menggalakkan golongan muda untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka.
Beliau menambah bahawa golongan profesional Melayu yang sudah berada dalam pelbagai sektor juga boleh membantu membuka peluang dan laluan kepada orang lain, manakala golongan muda perlu proaktif mencari peluang serta meneroka pelbagai bidang selaras dengan perubahan dalam industri dan pekerjaan.