SEORANG belia 20 tahun didenda $11,000 pada Khamis (2 September) kerana melanggar perintah Covid-19 untuk duduk di rumah selepas dikenal pasti mempunyai jangkitan pada trakus pernafasan atas.

Dia kemudian bertemu dengan temannya sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 pada April tahun lalu.

Gordon Wong Jun Yuan telah melanggar undang-undang ini sekurang-kurangnya empat kali dengan bertemu kawan dan pergi ke salun memotong rambut antara April dengan Mei tahun lalu.

Dia adalah Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa pada masa itu. Dia tidak diuji positif Covid-19.

Warga Singapura itu mengaku salah di atas dua tuduhan di bawah Undang-Undang 2020 Covid-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan), satu kesalahan di bawah Undang-Undang 2020 Penyakit Berjangkit (Perintah Duduk Di Rumah Covid-19) dan satu lagi di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Lagi tujuh kesalahan serupa dipertimbangkan bagi hukuman yang dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu Wong ke Poliklinik Bukit Merah pada 15 April tahun lalu kerana mengalami batuk kering, sakit tekak dan hidung berair.

Dia diberi cuti sakit selama lima hari dan diberitahu agar tidak meninggalkan rumah sewaktu tempoh tersebut. Namun, dia tinggalkan rumahnya juga keesokan hari untuk merokok dan membuat panggilan video kepada kawan-kawannya.

Pada 4 Mei tahun lalu, apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 berkuatkuasa, dia bertemu seorang teman untuk membeli makanan dan minuman di pasar raya dan kemudian keluar merokok.

Singapura melaksanakan tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 antara 7 April dengan 1 Jun tahun lalu bagi mengekang bilangan kes Covid-19 yang bertambah. Dalam tempoh tersebut, orang ramai dibenarkan untuk keluar rumah bagi kegiatan penting.

Pada 15 Mei tahun lalu, Wong mengunjungi poliklinik itu lagi kerana dia mengalami tanda penyakit serupa dan diberi cuti sakit lima hari dengan perintah jangan keluar rumah.

Dua hari selepas itu, bagaimanapun, dia bertemu seorang teman untuk minum bir dan merokok di kawasan Telok Blangah, di mana dia tinggal.

Dia keluar rumah sekali lagi pada 19 Mei untuk potong rambut.

Wong ditangkap selepas pegawai melapornya di Pasukan Pertahanan Awam Singapura menyedari dia tidak ada di rumah sewaktu cuti sakit dan melaporkannya kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Bagi setiap kesalahan di bawah Akta (Langkah Sementara) Covid-19, Wong boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti