Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia ditahan atas kesalahan berkaitan penipuan lonjak hampir 37% pada 2025
Laporan MSF: Majoriti diberkas jadi keldai penipuan; garis respons pemerintah yang pertingkat usaha pencegahan, pemulihan dan perundangan
Belia ditahan atas kesalahan berkaitan penipuan lonjak hampir 37% pada 2025
Jumlah belia – berusia antara 10 hingga bawah 21 tahun – yang ditahan atas kesalahan berkaitan penipuan telah melonjak hampir 37 peratus pada 2025 dengan kebanyakan mereka menjadi keldai penipuan.
Menurut Laporan Trend Menyokong Pemulihan Belia yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 29 September, seramai 1,114 belia melakukan kesalahan berkaitan penipuan pada 2025.
Angka itu meningkat daripada 814 pada 2024, sekali gus mencatat paras tertinggi sejak 2021.
Laporan tersebut memperincikan trend utama kesalahan serta pemulihan belia dari 2021 hingga 2025.
Menurut laporan itu, lonjakan kes penipuan menjadi pendorong utama dalam peningkatan kadar jenayah belia secara keseluruhan, daripada 4.8 bagi setiap 1,000 belia pada 2024 kepada 5.6 bagi setiap 1,000 belia pada 2025, kata MSF.
Belia dalam lingkungan pertengahan (16 hingga bawah 18 tahun) dan belia lebih dewasa (18 hingga bawah 21 tahun) terus mencatatkan kadar kesalahan lebih tinggi berbanding belia muda (10 hingga bawah 16 tahun), tambah MSF.
Bilangan belia lebih dewasa yang melakukan kesalahan mencatatkan peningkatan tertinggi, iaitu daripada 1,128 pada 2024 kepada 1,416 pada 2025.
Peningkatan itu jelas dilihat dalam kategori kesalahan berkaitan penipuan, di mana jumlah belia dewasa yang melakukan kesalahan berkaitan penipuan telah meningkat daripada 574 belia pada 2024 kepada 782 belia pada 2025.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), belia yang terbabit sebagai keldai penipuan lazimnya menyerahkan akaun perbankan dan butiran log masuk Singpass; mendaftar serta menyerahkan kad SIM dan talian telefon bimbit untuk penipu, atau menguruskan transaksi bagi pihak penipu.
Bagi kes kesalahan penipuan yang lain, ada belia menggunakan dokumen individu lain atau maklumat identiti peribadi palsu demi melakukan aktiviti terhad umur, seperti untuk masuk kelab malam dan membeli rokok.
Bagi menangani peningkatan kesalahan berkaitan penipuan tersebut, pemerintah telah mempertingkatkan usaha pencegahan, pemulihan dan perundangan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap MSF berkata trend belia lebih dewasa yang melakukan kesalahan penipuan boleh dibendung menerusi Jadual Kedua Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) yang telah dipinda untuk merangkumi kesalahan berkaitan penipuan.
Pindaan ini membolehkan kes-kes yang melibatkan belia berusia 16 hingga bawah 18 tahun, iaitu belia pertengahan, yang dituduh atas kesalahan penipuan dan berkaitan dipindahkan ke Mahkamah Negeri atau Mahkamah Tinggi.
“Di mahkamah-mahkamah itu, mereka boleh dikenakan hukuman yang setimpal dengan tahap kesalahan mereka, termasuk hukuman penjara, latihan pemulihan akhlak dan sebatan rotan, sambil terus menerima sokongan pemulihan yang diperlukan untuk proses integrasi semula ke dalam masyarakat,” jelas MSF.
Selain itu, undang-undang penyalahgunaan Kad SIM yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 turut membendung keldai penipuan, termasuk belia yang turut melakukan kesalahan itu, tambah MHA dan MSF.
Undang-undang tersebut, jelas MHA dan MSF, memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah yang menyumbang kepada penipuan.
Ia termasuk pelanggan kad SIM yang tidak bertanggungjawab, orang tengah yang menyediakan kad SIM serta peniaga kad SIM yang culas.
SPF dan Kementerian Pendidikan (MOE) turut bekerjasama membendung gejala ini menerusi pendidikan anti-penipuan di sekolah.
Pemerintah turut akan mempergiat sokongan pemulihan untuk mengekang trend golongan belia pertengahan yang lebih terjebak dalam kesalahan.
Pada 30 Disember 2025, CYPA dipinda untuk meningkatkan had umur pesalah belia daripada bawah usia 16 tahun kepada bawah usia 18 tahun.
Ini bermakna kes melibatkan pesalah berusia 16 hingga bawah 18 tahun boleh dirujuk kepada Mahkamah Belia, sekali gus memberi golongan belia pertengahan akses kepada sokongan pemulihan yang lebih sesuai dengan umur mereka, jelas MSF.
Sementara itu, kecurian dan kesalahan seksual kekal sebagai kesalahan utama yang lain, terutamanya dalam kalangan belia muda.
Jumlah belia yang melakukan kesalahan berkaitan kecurian meningkat daripada 571 pada 2024 kepada 588 pada 2025, dengan sekitar 67 peratus melibatkan kecurian makanan dan minuman, barangan peribadi serta kosmetik.
Di kalangan belia muda, bilangan kes berkaitan kecurian meningkat daripada 279 pada 2024 kepada 326 pada 2025.
Bagi kesalahan seksual, bilangan pesalah belia muda meningkat daripada 193 pada 2024 kepada 199 pada 2025.
Sekitar 57 peratus belia muda itu melakukan kes seksual melibatkan penetrasi, yang meningkat daripada 105 pesalah pada 2024 kepada 114 pesalah pada 2025.
Kesalahan ini merangkumi mangsa berusia bawah usia 16 tahun, tidak kira sama ada mangsa memberi kebenaran atau tidak.
Lantaran itu, terdapat pelbagai usaha berteraskan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan jenayah itu oleh pemerintah, sekolah dan pihak polis, demi mengekang kesalahan ini.
Misalnya, SPF bekerjasama dengan kedai buku Popular untuk menerbitkan siri komik pencegahan kecurian dalam majalah POPCLUB pada 2025 dan 2026.
SPF dan MOE turut menyediakan bahan maklumat mengenai jenayah seksual secara bersama untuk disampaikan oleh pegawai polis terlatih kepada pelajar semasa ceramah perhimpunan di sekolah-sekolah menengah.
Bahan tersebut merangkumi maklumat mengenai pelbagai jenis jenayah seksual yang membimbangkan, kesan daripada perbuatan jenayah tersebut, serta mesej khusus bagi membendung pelajar daripada melakukan kesalahan sedemikian.
Dalam pada itu, pemerintah akan memperkukuhkan usaha pencegahan dan pemulihan menerusi langkah campur tangan lebih awal untuk menyokong belia dan keluarga berisiko, pendidikan berkaitan pencegahan serta pelaksanaan pemulihan dan hukuman yang setimpal dengan tahap risiko dan keperluan setiap belia.
MSF akan menerajui langkah campur tangan menerusi Jawatankuasa Pencegahan, Pemulihan Residivisme Nasional (NCPR) untuk mengurangkan kadar belia melakukan kesalahan.
NCPR, yang diketuai oleh MSF dan MHA, ditubuhkan pada 2018 untuk menyelaraskan usaha negara mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.
Kerjasama MSF, MOE, pihak polis dan NCSS untuk memupuk lebih ramai belia menjadi duta pencegahan jenayah menerusi Program Rondaan Dampingan Masyarakat Belia kendalian SHINE, akan diperluas daripada lapan kepada 20 sekolah pada 2027, serta kepada lebih banyak Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) yang lain, kata jurucakap MSF.
Selain itu, Program Youth GO! - yang menyediakan dukungan tambahan kepada belia rentan agar menjauhi jenayah - telah dipertingkat dengan alat penilaian berasaskan bukti bagi menilai risiko dan keperluan belia dengan lebih tepat.
MSF juga akan memberi sokongan kepada adik-beradik belia berisiko bagi mencegah mereka daripada terjebak dalam kesalahan, menerusi program Intervensi Positif yang Mengutamakan Peluang dan Membina Keluarga Sejahtera (PIVOT).
Jurucakap MSF berkata:
“Menerusi usaha MSF bersama pesalah belia, kami mendapati bahawa sesetengah adik-beradik mereka mungkin berdepan cabaran serupa di rumah, sekolah, atau persekitaran sosial mereka.
“Daripada menunggu sehingga isu menjadi semakin parah, kami mahu mengambil pendekatan pencegahan bagi mengenalpasti keperluan sokongan seawal mungkin serta memperkukuh faktor perlindungan di sekeliling kanak-kanak, belia, dan keluarga mereka.”
Pemerintah turut menyediakan beberapa program pemulihan mengikuti tahap kesalahan, risiko dan keperluan belia masing-masing.
Ini merangkumi pelbagai program dampingan kendalian MSF hingga ke pemulihan di peringkat Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Namun, pihak pemerintah telah mempergiat program pemulihan demi mengekang trend dalam kalangan belia pertengahan yang lebih berisiko tinggi melakukan kesalahan.
Pada 30 Disember 2025, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA) dipinda untuk meningkatkan had umur pesalah belia daripada bawah usia 16 tahun kepada bawah usia 18 tahun.
Ini bermakna kes yang melibatkan pesalah berusia 16 hingga bawah 18 tahun boleh dirujuk kepada Mahkamah Belia, sekali gus memberi golongan belia pertengahan akses kepada sokongan pemulihan yang lebih sesuai kepada umur mereka, jelas MSF.