Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia laku backflip di Zoo didakwa laku beberapa kesalahan termasuk vandalisme

Jul 13, 2021 | 5:30 AM
HADAPI TIGA TUDUHAN: Ralph Wee Yi Kai, 19 tahun, hadapi tiga tuduhan termasuk vandalisme. - Foto BH oleh KELVIN CHNG
HADAPI TIGA TUDUHAN: Ralph Wee Yi Kai, 19 tahun, hadapi tiga tuduhan termasuk vandalisme. - Foto BH oleh KELVIN CHNG -

SEORANG remaja lelaki yang melakukan libas belakang atau backflip di dalam kurungan badak sumbu putih di Zoo Singapura dalam satu rakaman video telah didakwa di mahkamah daerah semalam atas beberapa kesalahan termasuk vandalisme.

Ralph Wee Yi Kai, 19 tahun, hadapi dua tuduhan melakukan perbuatan nakal dan satu tuduhan menceroboh, lapor The Straits Times (ST).

Remaja warga Singapura itu didakwa menceroboh kurungan haiwan berkenaan sekitar 2.40 petang, 17 Disember tahun lalu.

Dalam satu kejadian berasingan, Wee didakwa merosakkan harta benda awam sekitar 2.40 pagi 9 Oktober lalu dengan memukul papan maklumat di perhentian bas yang terletak di Sixth Avenue, Bukit Timah hingga menyebabkan kerosakan bernilai $900.

Dia juga dipercayai menyebabkan kerosakan kepada dua kereta yang terletak dekat kawasan berkenaan di Sixth Crescent pada pagi itu dengan menghentak cermin bahagian tepi kenderaan-kenderaan tersebut.

Wee didakwa menyebabkan kerosakan bernilai hampir $2,800 pada satu kereta Mercedes Benz dan lebih $1,600 terhadap satu kenderaan BMW.

Dalam satu kenyataan malam kelmarin, polis berkata pegawainya mengesan kes itu yang berlaku di Zoo Singapura pada sekitar 5.40 petang 17 Disember tahun lalu.

"Siasatan awal dapati bahawa teman lelaki tertuduh, seorang wanita berusia 18 tahun, dipercayai melakukan rakaman aksi tersebut sebelum lelaki itu memuatnaik video itu di akaun TikToknya dengan nama samaran @ralphwee_.

"Menerusi siasatan, pegawai dari Divisyen Polis Woodlands dapat mengenal pasti identiti lelaki dan wanita itu pada malam yang sama," tambah polis.

Selepas siasatan dijalankan dan selepas berbincang dengan Pejabat Peguam Negara, polis mengeluarkan amaran kepada wanita itu Khamis lalu kerana telah menggalak perbuatan menceroboh itu.

Identitinya tidak dikemukakan dalam dokumen mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg