Daripada belia masjid, jadi imam dan ustaz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada belia masjid, jadi imam dan ustaz

Mar 6, 2026 | 3:07 PM

Daripada belia masjid, jadi imam dan ustaz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
imam muda, masjid, Ramadan, Masjid Al-Iman
Encik Muhammad Hafiyyan Abdul Rasid, 28 tahun, telah meluangkan masa mudanya berkhidmat sebagai imam dan bilal di Masjid Al-Iman sejak berumur 19 tahun pada 2017. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bermula sebagai anggota kumpulan belia di Masjid Al-Iman (Ayman Al-Iman) di Bukit Panjang, kebolehan Encik Muhammad Hafiyyan Abdul Rasid sebagai bilal dan kemudiannya imam terbukti menyerlah.

Encik Hafiyyan, 28 tahun, telah meluangkan masa mudanya berkhidmat sebagai imam dan bilal sejak beliau berumur 19 tahun pada 2017.

Berkongsi tentang pengalaman yang mendorongnya untuk menggalas tanggungjawab ini, beliau berkata:

“Dalam kumpulan belia Ayman Al-Iman, kami telah dipupuk dengan nilai kepimpinan oleh Ustaz Khaider Rohani (Pegawai Pembangunan Belia Masjid waktu itu).

“Justeru, saya digalakkan dan didorong untuk ke depan sebagai pembaca Al-Quran dalam beberapa acara masjid.

“Dari situ, Ustaz Khaider mula mengenal pasti kebolehan saya dan beliaulah yang mengusulkan kepada pihak masjid agar saya berkhidmat sebagai bilal sambilan dulu.”

Setelah selesa berkhidmat sebagai bilal, Encik Hafiyyan mula diberi kepercayaan untuk memimpin solat sebagai imam.

Justeru, beliau juga telah mula mengimamkan solat tarawih sejak itu.

Pada Ramadan tahun ini, beliau ditugaskan untuk menjadi imam tarawih di beberapa masjid seperti Masjid Al-Iman dan Masjid Al-Amin.

Yang istimewa kali ini, beliau dikehendaki untuk membaca surah daripada juz lima hingga enam semasa memimpin solat tarawih

“Walaupun ini satu cabaran baru, saya ambil peluang ini untuk keluar daripada zon selesa dalam memantapkan hafalan saya,” kata pegawai jangkauan masyarakat di sebuah pusat jagaan warga emas itu.

Walaupun berlatarbelakangkan pendidikan nasional, minat Encik Hafiyyan untuk menguasai ilmu agama dengan lebih mendalam sudah terpahat sejak dulu lagi.

“Sejak dahulu saya selalu cuba untuk seimbangkan pendidikan sekular dan pengajian agama.

“Jika di rumah, saya diberi peluang oleh ibu bapa untuk menjadi imam solat jemaah bersama keluarga. Jadi itu menjadi pendedahan awal.

“Kemudian apabila sudah bergiat aktif dengan kumpulan belia Masjid Al-Iman, saya mula merajinkan diri menyertai kelas Al-Quran, mengambil kursus Diploma Pengajian Islam secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri,” kongsi beliau.

Kesungguhan untuk memperkasa diri dengan ilmu agama yang lebih luas telah mengukuhkan lagi kredibilitinya sebagai seorang imam.

Encik Hafiyyan yang bermula sebagai seorang anggota dalam kumpulan sayap belia Masjid Al-Iman telah  menyertai kelas Al-Quran dan mengambil kursus Diploma Pengajian Islam secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.
Encik Hafiyyan yang bermula sebagai seorang anggota dalam kumpulan sayap belia Masjid Al-Iman telah menyertai kelas Al-Quran dan mengambil kursus Diploma Pengajian Islam secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri. - Foto BH oleh KHALID BABA

Justeru, Encik Hafiyyan, yang kini sedang mengambil Diploma Lanjutan di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dalam jurusan Pengajian Islam, telah meraih pengiktirafan ‘tahap dua’ bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Pengiktirafan yang diraih pada 2023 itu telah membolehkannya mengajar kelas Al-Quran di masjid-masjid.

Susulan itu, beliau juga telah diamanahkan menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi kelas madrasah mingguan aLIVE di Masjid Al-Iman.

Perjalanan Encik Hafiyyan sebagai imam telah menonjolkan dirinya sebagai seorang yang teguh dalam cita-citanya untuk menguasai ilmu agama.

Justeru, itu memang menjadi sifat yang sudah sebati dengan beliau sejak aktif sebagai anggota kumpulan belia Masjid Al-Iman lagi.

Mengulas tentang hal ini, Ketua Penglibatan dan Jangkauan Masyarakat Masjid Al-Iman, Ustaz Khaider berkata:

“Golongan belia seperti Hafiyyan yang bukan sahaja mempunyai minat dalam pengajian agama, malah juga mempunyai kebolehan untuk memimpin masyarakat di masjid memang wajar kita ketengahkan.

“Ini bukan sahaja bermanfaat buat masjid kerana mempunyai kakitangan tambahan, bahkan bagus untuk golongan belia ini memanfaatkan ilmu yang telah dipelajari,” tambah beliau.

Di bawah kumpulan sayap belia Ayman Al-Iman, Ustaz Khaider Rohani (kanan) yang merupakan Pegawai Pembangunan Belia waktu itu telah mendorong anak muda seperti Encik Hafiyyan (kiri) untuk tampil ke depan menjadi bilal dan imam di masjid.
Di bawah kumpulan sayap belia Ayman Al-Iman, Ustaz Khaider Rohani (kanan) yang merupakan Pegawai Pembangunan Belia waktu itu telah mendorong anak muda seperti Encik Hafiyyan (kiri) untuk tampil ke depan menjadi bilal dan imam di masjid. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Hafiyyan yang kini sudah berumahtangga menyedari bahawa peranan sebagai seorang imam telah memperkasa dirinya dengan nilai kepimpinan, mentelah sekarang beliau sudah bergelar ketua keluarga.

Pada masa sama, beliau juga menganggap dengan menjadi imam, ia juga merupakan satu kesempatan untuk sentiasa memperbaiki dirinya.

“Sebagai imam, ia membantu saya untuk merendah hati. Memimpin jemaah dalam solat memerlukan kita untuk sentiasa menilai kekurangan diri dan berusaha untuk menjadi lebih baik,” jelas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg