Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia radikal rancang serang Keramat Habib Noh, Kem Amoy Quee

Feb 2, 2023 | 5:30 AM
RANCANG PENGGANASAN: Sebuah dokumen arahan membuat bom C4 yang dimuat turun Irfan dan dua lokasi yang disasarkannya, Keramat Habib Noh (gambar atas) dan Kem Amoy Quee. - Foto ISD, MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH, GOOGLE MAPS
RANCANG PENGGANASAN: Sebuah dokumen arahan membuat bom C4 yang dimuat turun Irfan dan dua lokasi yang disasarkannya, Keramat Habib Noh (gambar atas) dan Kem Amoy Quee. - Foto ISD, MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH, GOOGLE MAPS -

BELIA lelaki 18 tahun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Disember lalu telah memuat turun sebuah dokumen arahan membuat bom C4 dan berniat membina alat letupan dari rumah untuk mengebom Keramat Habib Noh di Masjid Haji Muhammad Salleh kerana dia menganggap tapak kubur itu bukan Islam sebab ia dihiasi dan tidak terletak di tanah.

Dia juga merancang satu serangan yang berupaya menyebabkan ramai terkorban di Kem Amoy Quee, ibu pejabat Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) - satu kegiatan kokurikulum (CCA) di tahap Sekolah Menengah.

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor turut merancang satu serangan dengan menikam dan membunuh "orang tidak percaya (dengan Islam)" disokongi satu pasukan ketenteraan ISIS tersendirinya yang mana beliau merancang merekrut seramai 100 hingga 500 pejuang.

Berita mengenai pemberkasan belia posmenengah itu dikeluarkan semalam oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Menurut kenyataannya, Irfan telah merancangkan sekurang-kurangnya tiga serangan terhadap beberapa sasaran di Singapura, dan berhasrat melakukan demikian dengan sokongan sebuah pasukan ISIS.

Dia tidak mempunyai jadual waktu tetap untuk melancarkan serangan itu, kata ISD.

Menurut ISD, Irfan mula terjebak dalam perjalanan radikal selepas menonton sebuah video oleh pendakwah ekstrem, Zakir Naik, pada 2020.

Sejak lewat 2021, Irfan mempunyai niat untuk tinggal di sebuah pemerintahan Khalifah yang diperintah undang-undang syariah dan dengan itu berhasrat menubuhkan sebuah pemerintahan tersebut dan merekrut Muslim menyertainya.

Dia meletakkan sebuah bendera berunsur sebuah kumpulan pengganasan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda di Coney Island pada Hari Kebangsaan 2022 dan merancang merekrut 100 hingga 500 pejuang dalam pasukan tenteranya itu.

Dia memilih Coney Island kerana dia kenal dengan lokasi itu selepas melawatinya dengan basikal dan kemudahan akses kepada kawasan itu membuatnya sesuai untuk dia menubuhkan pemerintahan Khalifah di situ.

"Sehingga Oktober 2022, Irfan menjadi yakin terhadap legitimasi ISIS, selepas membaca pelbagai propaganda ISIS dalam talian," kata ISD.

Dia merancang untuk pergi ke Nigeria dan menyertai kegiatan pengganasan bersama ISIS di Wilayah Afrika Barat (ISWAP) kerana dia percaya kumpulan itu mempunyai kaitan erat bersama ISIS.

"Dia berkata dia bersedia untuk mati di padang pertempuran sewaktu berperang, dengan kepercayaan ia adalah satu jihad," kata ISD.

"Dia juga melihat Iraq, Syria atau Marawi di Filipina Selatan sebagai destinasi alternatif bagi pengganasan bersenjata jika dia tidak berjaya menyertai ISWAP."

ISD berkata dia telah mencari penerbangan dari Singapura ke lokasi itu dan merancang berbuat demikian selepas mengumpul duit.

Sementara itu, Irfan merancang untuk menunjukkan sokongannya kepada ISIS dengan merakam satu video dia mengangkat sumpah bai'ah kepada bekas pemimpin kumpulan pengganasan itu, Abu al-Hasan al-Hashimi al-Quraishi.

"Dia faham bahawa dengan bai'ah itu, dia perlu mematuhi sebarang suruhan oleh ISIS, termasuk melaksanakan serangan di Singapura, meskipun ia bermakna dia berupaya mati dalam proses itu," kata ISD.

Dia merancang untuk buat rakaman itu di Coney Island pada hujung minggu 12 dan 13 November dengan memakai uniform NCC-nya, sebuah bendera dan balut kepala yang diperbuat sendiri serta sepucuk senapang mainan, meniru apa dilakukan pejuang ISIS berdasarkan propaganda yang dilihatnya dalam talian.

ISD berkata Irfan percaya ia satu kewajiban agama untuk menyebarkan ideologi radikal ISIS.

Dia merancang memuatnaik video itu di pelbagai platform media sosial demi membina sokongan kepada ISIS dan merekrut pasukan ketenteraan ISIS-nya untuk membantunya melaksanakan serangan di Singapura.

Irfan ditangkap ISD beberapa hari sebelum dia merancang membuat rakaman bai'ah itu kepada ISIS dan mengesahkan Coney Island sebagai wilayah ISIS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg