MESKIPUN keadaan Covid-19 di negara ini kini lebih baik, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 tidak akan dibubarkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semalam.
Ini kerana masih tidak diketahui bagaimana koronavirus itu akan bermutasi serta kesan varian akan datang, ujarnya semasa satu sidang media MTF di Pusat Akhbar Nasional di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) di Hill Street.
Ini merupakan sidang media MTF pertama yang berlangsung secara fizikal sejak 24 Mac 2020.
"Ia mungkin lebih ringan dan pastinya kami berharap demikian.
"Namun, ia juga mungkin lebih agresif dan berbahaya," ujar Encik Wong yang merupakan pengerusi bersama MTF sejak ia dibentuk.
Pasukan bertindak itu ditubuhkan pada Januari 2020 untuk menyelaras usaha pemerintah memerangi Covid-19.
Encik Wong turut memberi jaminan bahawa MTF terus memantau situasi pandemik Covid-19 dengan rapat.
Tambahnya, terdapat rancangan bagi pelbagai situasi di luar jangkaan termasuk mempertingkat keupayaan penjagaan kesihatan dan operasi vaksinasi negara ini jika perlu.
Langkah Covid-19 yang telah dilonggarkan - termasuk sekatan sempadan dan langkah pengurusan selamat - juga boleh dilaksana semula sekiranya gelombang Covid-19 yang lebih agresif muncul pada masa akan datang, ujar beliau.
Encik Wong berkata langkah itu boleh memberi ruang dan masa supaya langkah boleh diambil untuk meningkatkan keupayaan penjagaan kesihatan Singapura atau menawarkan suntikan penggalak kedua kepada semua orang jika perlu.
Encik Wong yang juga Menteri Kewangan turut menggesa orang ramai agar kekal bersatu padu dan yakin untuk mengatasi pandemik ini bersama sebagai satu rakyat.
"Saya harap kita tidak perlu melaksana langkah ini lagi.
"Namun berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita tahu ini virus yang mencabar dan kita perlu menjangkakan perkara di luar jangkaan," ujarnya.
Sementara banyak langkah pengurusan selamat tidak lagi mandatori, Encik Wong menggesa orang ramai terus mengamalkan sikap tanggungjawab peribadi dan sosial.
Walaupun orang ramai tidak perlu memakai pelitup di tempat tertutup lagi mulai 29 Ogos kecuali ketika menaiki pengangkutan awam atau semasa berada di tempat penjagaan kesihatan, warga emas dan mereka yang memiliki imun yang lemah harus terus memakai pelitup di tempat tertutup yang mempunyai ramai orang untuk mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 serta jangkitan pernafasan yang lain, ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang rasa sakit juga harus terus duduk di rumah dan elak daripada keluar rumah manakala kontak rapat pesakit Covid-19 pula harus memastikan mereka mendapat hasil ujian pantas antigen (ART) yang negatif sebelum keluar rumah bagi jangka masa lima hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg