Topik diikuti
Pergi ke BHkuBendera Bay dibuka tidak lama lagi
Lagun di Pulau St John's bagi kegiatan bertema penyelidikan, rekreasi, warisan dan pendidikan
Bendera Bay dibuka tidak lama lagi
SEBUAH kawasan lagun di Pulau St John's tidak lama lagi akan dibuka kepada orang ramai menerusi kegiatan penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan yang dirancang.
Dipanggil Bendera Bay - hasil ilham nama asal Melayu pulau itu, iaitu Pulau Sekijang Bendera - ia seluas 3.9 hektar dan merangkumi lagun dengan pelbagai habitat bakau, karang, rumput laut, pantai berpasir dan pantai berbatu.
Akses ke kawasan itu hanya dibenarkan melalui program dirancang yang akan dijalankan mulai awal tahun depan, bergantung pada sekatan Covid-19, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dan masyarakat Friends of Marine Park (FMP) dalam kenyataan bersama semalam.
Kawasan tersebut akan terus dipagar untuk melindunginya dan mempermudahkan penyelidikan yang akan dijalankan.
Sebelum ini, kawasan itu tidak boleh dimasuki orang awam.
Bendera Bay dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin; dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, semalam.
Semasa berucap di acara pembukaan Bendera Bay itu, Encik Tan berkata kepelbagaian habitat di kawasan teluk itu memberikan peluang kepada orang awam mengenali lebih lanjut tentang biodiversiti pulau itu.
"Ini menjadikan teluk ini satu tempat yang baik bagi orang awam bukan hanya menikmati tempat ini, malah mempelajari lebih lanjut tentang kepelbagaian biodiversiti kita.
"Ia juga lokasi ideal bagi penyelidik menjalankan kajian kerana ia terletak berdekatan Makmal Marin Nasional Pulau St John's," kata beliau.
Masyarakat FMP, yang merangkumi pihak berkepentingan dan relawan seperti penyelam, pemancing, pemilik bot, ahli akademik dan agensi pemerintah, akan mengaturkan jadual program yang akan diadakan di sana.
Kegiatan yang akan diadakan akan tertumpu pada empat tema - penyelidikan, rekreasi, warisan dan pendidikan.
Misalnya, penyelidik dari Makmal Marin Nasional Pulau St John's sedang melakukan kajian tentang rumput laut, dan peluang penyelidikan lain yang melibatkan kawasan bakau, rumput laut dan karang di situ sedang dirancang.
Dari segi rekreasi, rancangan sedang dijalankan untuk mengadakan lebih banyak bengkel memancing secara mampan dan kegiatan selam sains rakyat (citizen science dives) bagi orang awam sertai.
Orang ramai juga boleh mengenali lebih lanjut tentang kisah kehidupan di pulau itu menerusi perkongsian oleh keluarga yang pernah tinggal di situ.
Beberapa kegiatan telah diadakan masyarakat FMP semasa pembukaan Bendera Bay sebagai percubaan bagi kegiatan masa depan, termasuk kegiatan berjalan di zon pasang-surut (intertidal walk) untuk menampilkan biodiversiti rumput laut dan marin di situ.
Peserta akan memberikan maklum balas untuk memperhalusi kegiatan tersebut sebelum ia dibuka kepada orang awam.
Ditanya tentang program dirancang itu bagi mengawal akses awam, pengerusi FMP, Encik Stephen Beng, berkata kawasan itu bukan satu destinasi di mana mereka cuba promosi bagi pelancongan.
"Kegiatan akan tertumpu pada penyelidikan, pemuliharaan dan pendidikan, dan ia masih di tahap awal. Ia bukan sebuah destinasi seperti Sentosa di mana kami cuba mendapatkan ramai orang untuk pergi ke sana. Ia adalah tentang taman marin ini, ia adalah tentang pemuliharaan dan pendidikan," kata beliau.
