Sekitar 30 peserta telah berbasikal bersama bekas pesalah pada Sabtu pagi.
Buat julung-julung kalinya, acara ‘Mencapai Everest untuk Peluang Kedua’ atau ‘Everesting for Second Chances’ telah dianjurkan oleh Perkhidmatan Komuniti HCSA.
Pertubuhan amal itu bermatlamat mengumpulkan $250,000 bagi memperkasa bekas pesalah agar dapat membina semula kehidupan mereka.
Hasil daripada acara itu akan diberikan kepada rumah tumpangan HCSA HighPoint.
Rumah tumpangan itu memberi tumpuan kepada usaha menyokong bekas pesalah untuk mengintegrasi semula para pesalah ke dalam masyarakat.
Kempen itu juga disokong oleh Persekutuan Berbasikal Singapura, Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional, dan Reben Kuning Singapura.
Acara berbasikal selama 24 jam itu turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim yang menyertai acara itu bersama bekas pesalah pada pagi Sabtu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Komuniti HCSA, Cik Kim Lang Khalil, HCSA berasa gembira dengan sokongan dan komitmen kededua individu dan pasukan yang telah mengambil bahagian dalam acara itu.
“Kami ingin terus mendekati orang ramai untuk membantu dalam cara yang mereka boleh, sama ada dengan menakluki ketinggian setara Gunung Everest dengan mengayuh basikal atau memupuk sokongan kepada bekas pesalah melalui derma,” kata beliau.
Acara itu akan berlangsung sehingga 31 Julai 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg