Berbasikal, sama ada untuk bekerja, bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, atau beriadah, kian mendapat sambutan di Singapura. Namun, tiga kemalangan maut pada November telah mengalihkan tumpuan kepada keselamatan para pengayuh, terutama di jalan raya. Walaupun sebahagian besar pengguna jalan raya akur pengayuh basikal antara pengguna yang menanggung risiko kemalangan dan kecederaan paling tinggi, ada juga yang lantang mempersalahkan pengayuh basikal apabila kemalangan berlaku. Berita Minggu (BM) membentangkan keluhan kededua kumpulan ini dalam usaha mencari huraian bagi persoalan sama ada pengguna jalan raya di Singapura sudah bersedia berkongsi jalan raya dengan basikal.

Setiap kali keluar bertugas, Cik Siti Muhaini Mohd Fadil, penghantar makanan basikal Grab, tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan dan sentiasa memastikan dirinya lengkap berpakaian perlindungan seperti topi keledar dan sarung tangan.

Namun, malang tidak berbau.

Sekitar 2022, Cik Muhaini terhumban daripada basikal gunung apabila sebuah teksi melanggar tayar belakang basikalnya semasa beliau menyeberang jalan di sebuah lintasan zebra di Eunos.

Menceritakan pengalaman cemas itu kepada Berita Minggu (BM), Cik Muhaini, yang mengalami kecederaan di lutut dan lengannya berkata:

“Masa saya nak melintas lintasan zebra, saya akan sentiasa berhenti dan tunggu kenderaan perlahankan kelajuan serta berhenti. 

“Bila nampak sebuah teksi biru perlahankan kenderaan, saya sangka beliau nak berhenti dan bagi saya laluan.

“Tapi tak sangka pula, ketika saya kayuh melintas, beliau tiba-tiba pecut dan langgar bahagian belakang basikal saya.” 

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, ia masih menghantui Cik Muhaini, ibu tujuh anak berusia empat hingga 18 tahun.

Kini, ia membuat beliau lebih berjaga-jaga di jalan raya.

Penghantar makanan basikal Grab, Cik Siti Muhaini Mohd Fadil yang mengalami kecederaan jalan raya pada 2022.
Penghantar makanan basikal Grab, Cik Siti Muhaini Mohd Fadil yang mengalami kecederaan jalan raya pada 2022. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya perlu jaga keselamatan diri sebab anak-anak tunggu di rumah, diri saya sendiri perlu bertanggungjawab,” ujarnya. 

Pengalaman pahit Cik Muhaini itu mencerminkan risiko berterusan yang dihadapi penunggang basikal di jalan raya – isu yang kembali menjadi tumpuan menyusuli beberapa kemalangan maut di sini baru-baru ini.

Dalam tempoh tiga hari antara 11 dengan 13 November, tiga penunggang basikal maut dalam kemalangan berasingan yang melibatkan kenderaan bermotor.

Seorang lelaki berusia 75 tahun yang menunggang basikal berbateri meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Hougang Avenue 9 dengan Yio Chu Kang Road pada 13 November.

Kejadian itu berlaku sehari selepas atlet triatlon negara, Russell Lee, 24 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan lori jongket atau tipper truck di Changi.

Pada 11 November pula, seorang penunggang basikal berusia 37 tahun meninggal dunia akibat kemalangan dengan lori jongket di persimpangan Amber Road dengan Amber Gardens.

Debat di media sosial

Tiga kejadian tersebut mengundang reaksi penuh emosi daripada komuniti berbasikal di media sosial.

Pengasas penjual basikal tempatan Ascent Bikes, Encik Yee Qing Xiang, memuat naik satu video di media sosial kedai itu untuk merayu agar pemandu kenderaan bermotor dapat bertimbang rasa terhadap penunggang basikal di jalan raya, pada 15 November. Ini susulan nahas tiga penunggang basikal dalam kemalangan berasingan yang melibatkan kenderaan bermotor dalam tempoh tiga hari.
Pengasas penjual basikal tempatan Ascent Bikes, Encik Yee Qing Xiang, memuat naik satu video di media sosial kedai itu untuk merayu agar pemandu kenderaan bermotor dapat bertimbang rasa terhadap penunggang basikal di jalan raya, pada 15 November. Ini susulan nahas tiga penunggang basikal dalam kemalangan berasingan yang melibatkan kenderaan bermotor dalam tempoh tiga hari. - Foto TANGKAP LAYAR ASCENT BIKES

Dalam satu video yang dimuat naik di Instagram pada 15 November, pengasas kedai basikal tempatan Ascent Bikes, Encik Yee Qing Xiang, menyeru pengguna jalan raya supaya memberikan lebih ruang dan pertimbangan kepada penunggang basikal.

Merujuk kepada tiga penunggang basikal yang terlibat dalam kemalangan maut antara 11 dengan 13 November itu, beliau berkata:

“Setiap penunggang basikal adalah anak lelaki atau anak perempuan seseorang. Mungkin bapa atau ibu seseorang, adik-beradik, saudara-mara, atau kawan. 

“Di sebalik pakaian lycra itu, kami adalah warga Singapura, kami juga manusia. Kita semua hanya ingin pulang dengan selamat kepada keluarga kita. 

“Kami menikmati kebebasan berbasikal, kami menikmati angin pada rambut kami, sama seperti anda menikmati memandu ke tempat kegemaran anda untuk roti perata atau mi wantan, sesuatu yang tidak akan dapat dialami lagi oleh penunggang basikal ini. 

“Jadi, apabila memotong kami di jalan raya, berikanlah sedikit ruang dan bertimbang rasalah terhadap kami. Kami semua hanya sedang menjalani kehidupan seharian masing-masing.”

Hujah Encik Yee itu mengundang pelbagai komen, daripada pihak yang menyokong hujahnya kepada golongan yang mengecam penunggang basikal di jalan raya, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penduduk di Singapura, terutama pengguna jalan raya seperti pemandu kenderaan bermotor sedia berkongsi jalan raya dengan penunggang basikal.

Pada 23 Mei pihak polis dimaklumkan mengenai satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah basikal di persimpangan Pasir Ris Drive 4 dengan Pasir Ris Drive 3. Seorang penunggang basikal wanita berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Pada 23 Mei pihak polis dimaklumkan mengenai satu kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah basikal di persimpangan Pasir Ris Drive 4 dengan Pasir Ris Drive 3. Seorang penunggang basikal wanita berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). - Foto fail

Berbasikal kian popular, tetapi…

“Kegiatan berbasikal semakin popular dan akan terus kekal,” kata Naib Presiden (Jangkauan Masyarakat) Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF), Encik Steven Lim, apabila dihubungi BM.

“Persoalannya bukan sekadar bagaimana jalan raya menampung penunggang basikal, tetapi bagaimana semua pengguna dapat berkongsi ruang secara selamat, bertoleransi dan harmoni,” katanya lagi.

Penunggang basikal di Singapura rata-rata boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama – orang yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain; orang yang menggunakan basikal untuk bertugas, seperti penghantar barangan; serta penunggang basikal untuk kegiatan riadah.

Kebanyakan penunggang basikal dalam kategori ini biasanya menggunakan kededua jalan raya dan laluan untuk berbasikal khas yang dibina pemerintah di serata pulau.

Laluan berbasikal khas – yang kadangkala dibina selaras dengan tempat pejalan kaki atau secara bersendiri – seperti yang dilihat di pantai atau penghubung taman – boleh dianggap lebih selamat untuk penunggang basikal.

Namun beberapa penunggang riadah lebih serius memberitahu BM mereka kerap memilih untuk berbasikal di jalan raya, terutama untuk menjaga keselamatan pengguna lain di laluan berbasikal, yang termasuk kanak-kanak dan golongan lebih tua.

Kumpulan ini boleh berbasikal selaju hingga 40 kilometer sejam di jalan raya. Secara perbandingan, had kelajuan di laluan berbasikal ialah 25 kilometer sejam. Had ini direndahkan kepada 10 kilometer sejam di laluan pejalan kaki di mana berbasikal dibenarkan. 

Encik Khairi Omar sudah lebih sedekad menunggang basikal di jalan raya untuk beriadah bersama kawan-kawannya.
Encik Khairi Omar sudah lebih sedekad menunggang basikal di jalan raya untuk beriadah bersama kawan-kawannya. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Salah seorang penunggang basikal di jalan raya, Encik Khairi Omar, 40 tahun berkata, jalan raya adalah pilihan yang wajar supaya tidak membahayakan pejalan kaki.

“Justeru, untuk kayuhan latihan yang lebih pantas atau berkumpulan, jalan raya menjadi pilihan yang perlu demi mengelakkan risiko berlanggar atau mengganggu pejalan kaki,” kata Encik Khairi, yang sudah lebih sedekad berbasikal di jalan raya.

Beliau sentiasa menuruti undang-undang jalan raya dan mengambil langkah proaktif untuk memelihara keselamatan di jalan raya.

“Bagi saya, apabila saya mengetuai satu kayuhan berkumpulan, kami akan beri laluan kepada pemandu kenderaan… kami tahu kedudukan kami di jalan raya,” katanya lagi. 

Menambah, beliau yang bertugas sebagai eksekutif pemasaran di syarikat pengedar basikal, Entro, berkata beliau turut menggunakan laluan basikal khas apabila berulang-alik ke tempat kerja secara santai dari rumahnya di Pasir Ris ke pejabat di Chai Chee.

Encik Muhammad Hafiz Rafnye, 43 tahun, yang mula aktif berbasikal di jalan raya sejak Februari berkata pengalamannya di jalan raya menunjukkan kededua pihak perlu saling memahami keperluan masing-masing dan mengetepikan ego.

Bapa empat anak itu, yang mengayuh basikal sekurang-kurangnya 100 kilometer setiap minggu bersama enam hingga 10 rakannya berkata pemandu yang memandu terlalu laju sering terlepas pandang isyarat tangan penunggang basikal sebelum mereka membelok atau menukar lorong, selain ada yang membunyikan hon dengan tidak sabar terhadap kenderaan perlahan di hadapan.   

“Jika pemandu lebih peka, mereka boleh perlahankan kenderaan lebih awal dan beri ruang kepada penunggang basikal untuk memotong secara selamat.   

“Namun, penunggang basikal juga perlu memahami keterbatasan kenderaan lain – jangan berada tepat di sebelah atau di hadapan lori dan trak besar kerana pemandu tidak dapat melihat anda di kawasan titik buta,” jelasnya.

Menurut Encik Khairi Omar, laluan kongsi di kaki lima kurang praktikal apabila beliau ingin berbasikal laju secara berkumpulan kerana faktor had laju serta keselamatan pejalan kaki, lantas, beliau berbasikal di jalan raya.
Menurut Encik Khairi Omar, laluan kongsi di kaki lima kurang praktikal apabila beliau ingin berbasikal laju secara berkumpulan kerana faktor had laju serta keselamatan pejalan kaki, lantas, beliau berbasikal di jalan raya. - Foto BM oleh FANDY RAZAK
Encik Muhammad Hafiz Rafnye di kedai basikal JanjiRide.SG, yang terletak di Choa Chu Kang Avenue 7, pada 18 November. Nama kedai tersebut turut digunakan sebagai nama komuniti kayuhan sosial Encik Hafiz bersama teman-temannya.
Encik Muhammad Hafiz Rafnye di kedai basikal JanjiRide.SG, yang terletak di Choa Chu Kang Avenue 7, pada 18 November. Nama kedai tersebut turut digunakan sebagai nama komuniti kayuhan sosial Encik Hafiz bersama teman-temannya. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL
Encik Muhammad Hafiz Rafnye (dua dari kanan) bersama teman berbasikalnya (dari kiri) Encik Syazwan Mohammad, 27 tahun; Encik Zamairi Aineh, 47 tahun, yang juga merupakan pengasas  kedai basikal Janjiride.sg; dan Encik Sufyan Jamal, 42 tahun.
Encik Muhammad Hafiz Rafnye (dua dari kanan) bersama teman berbasikalnya (dari kiri) Encik Syazwan Mohammad, 27 tahun; Encik Zamairi Aineh, 47 tahun, yang juga merupakan pengasas kedai basikal Janjiride.sg; dan Encik Sufyan Jamal, 42 tahun. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Program didik orang ramai

SCF menjalankan program pendidikan berterusan seperti Cycle Safe Programme bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Polis Trafik (TP) bagi membiasakan orang ramai dengan peraturan lalu lintas. 

Menurut Encik Lim, cabaran utama di jalan raya bukan kekurangan ruang, sebaliknya sikap segelintir pengguna yang menganggap jalan raya sebagai ‘ruang peribadi’ mereka.

“Penunggang basikal perlu kekal di sebelah kiri dan memberi laluan apabila selamat. 

“Sebaliknya, pemandu kenderaan yang jauh lebih laju perlu bersabar kerana kelewatan beberapa saat di belakang basikal tidak banyak menjejas masa perjalanan mereka.”

Memberi sudut pandang berbeza, seorang pemandu, Encik Kamarulzaman Omar, berkata beliau prihatin dengan cara sesetengah penunggang basikal menggunakan jalan raya khususnya apabila laluan berbasikal sudah disediakan.

Berkongsi pengalamannya, beliau pernah melihat penunggang basikal yang menggunakan jalan raya tanpa menuruti undang-undang, seperti tidak berbasikal di lorong paling kiri, menukar lorong secara mengejut dan membelok tanpa isyarat.

“Keadaan sebegini menimbulkan kebimbangan rasa takut dalam kalangan pemandu.

“Sebagai pemandu, kita bukan sahaja perlu berikan perhatian kepada kenderaan lain, malah perlu sentiasa menjangkakan pergerakan penunggang basikal yang mungkin berubah secara tiba-tiba,” kongsi beliau, yang berusia 63 tahun.

Perlu adanya tolak ansur antara penunggang basikal dan pemandu di jalan raya.
Perlu adanya tolak ansur antara penunggang basikal dan pemandu di jalan raya. - Foto fail

Kemalangan libat basikal melonjak 

Sementara itu, statistik yang menunjukkan kemalangan jalan raya melibatkan penunggang basikal terus mencetus keprihatinan.

Sebanyak 772 kemalangan melibatkan penunggang basikal pada 2025, lonjakan hampir 25 peratus berbanding 620 kemalangan pada 2024. 

Jumlah kemalangan melibatkan penunggang basikal yang membawa maut juga bertambah daripada 13 kepada 17 dalam tempoh yang sama.

Pada 2023, 15 daripada 581 kemalangan melibatkan penunggang basikal membawa maut.

Kemalangan melibatkan penunggang basikal pernah mencecah paras tertinggi melebihi 780 kes pada 2021 ketika pandemik Covid-19, sebelum menurun kepada bawah 750 kes pada 2022 apabila sekatan perhimpunan awam mula dilonggarkan. 

Maklumat di laman web Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan kumpulan penunggang basikal dihadkan kepada lima orang jika mengayuh sebaris, atau maksimum 10 orang jika mengayuh secara bersebelahan.

Penunggang basikal juga mesti mengayuh dalam sebaris di jalan raya satu lorong serta semasa tempoh lorong bas berkuat kuasa, namun dibenarkan berbasikal berdua-dua secara bersebelahan di jalan raya yang mempunyai dua lorong atau lebih di luar waktu lorong bas dikuat kuasa. 

Selain itu, mereka perlu sentiasa menunggang sedekat yang boleh dengan tepi paling kiri jalan raya bagi membolehkan kenderaan lain memotong dengan selamat.

Bagi memastikan peraturan jalan raya dipatuhi, Polis Trafik (TP) dengan kerjasama LTA turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersama terhadap penunggang basikal yang melakukan kesalahan di jalan raya.

Pengamatan BM di jalan raya baru-baru ini menunjukkan kebanyakan penunggang basikal – termasuk basikal guna kuasa (PAB) , beca dan basikal tiga roda – mematuhi peraturan tersebut, walau ada satu dua yang tidak.

Melebihi peraturan dan prasarana khas, Ketua Makmal Psikologi Perbandaran di Pusat Bandar Raya Inovatif Lee Kuan Yew di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Dr Samuel Chng berkata pendidikan keselamatan berasaskan situasi harian, seperti cara memotong penunggang basikal dengan selamat adalah penting. 

“Kita perlu memupuk budaya yang menjadikan sikap memberi masa dan ruang kepada pengguna lain sebagai amalan biasa. 

“Penguatkuasaan, reka bentuk jalan raya dan sikap bertimbang rasa dalam kalangan pengguna semuanya memainkan peranan penting,” kata Dr Chng.

Laluan berbasikal khas

Dalam usaha menggalak amalan berbasikal lebih selamat, LTA  telah membuka laluan berbasikal baharu sepanjang 16 kilometer di Woodlands dan Sembawang yang menghubungkan penduduk ke empat stesen MRT berdekatan, pada 14 November lalu. 

Ia sekali gus meningkatkan jaringan laluan di kawasan itu kepada 42 kilometer.

Kemudahan sokongan seperti laluan yang dilebarkan, laluan pintas di 44 perhentian bas serta sekitar 500 tempat letak basikal tambahan di stesen MRT turut disediakan demi keselesaan pengguna.

Secara lebih luas, rangkaian laluan berbasikal di Singapura kini mencecah 800 kilometer berbanding sekitar 600 kilometer pada 2024. 

Ia juga disasarkan meningkat kepada 1,300 kilometer menjelang 2030 bagi membolehkan lebih sembilan daripada setiap 10 penduduk HDB mengakses laluan berbasikal dalam beberapa minit sahaja. 

Laluan berbasikal baharu di sekitar bandar Woodlands itu menghubungkan penduduk ke pelbagai kemudahan serta stesen MRT.
Laluan berbasikal baharu di sekitar bandar Woodlands itu menghubungkan penduduk ke pelbagai kemudahan serta stesen MRT. - Foto LTA

Menurut Dr Chng, usaha membina rangkaian laluan berbasikal yang saling bersambung sepenuhnya memerlukan masa, meskipun peluasan berkenaan amat dialu-alukan.

Ini terutamanya di kawasan kejiranan lama yang mempunyai ruang terhad, tambah beliau.

Menurutnya, sementara usaha diteruskan, tumpuan boleh diberikan kepada lokasi berisiko tinggi seperti persimpangan, selekoh, dan titik pertemuan antara laluan berbasikal dengan jalan raya yang mendedahkan penunggang basikal kepada kenderaan besar dan laju.

“Kejadian hampir kemalangan serta laluan yang cuba dielakkan penunggang basikal boleh membantu mengenal pasti lokasi yang paling memerlukan langkah penambahbaikan keselamatan sementara,” ujar beliau.

Menambah, Dr Chng, berkata reka bentuk jalan raya amat mempengaruhi risiko kemalangan, khususnya apabila pandangan pengguna terhalang – seperti ketika pemandu yang ingin membelok ke kiri menumpukan perhatian kepada trafik dari kanan, sedangkan penunggang basikal menghampiri dari kiri.

“Reka bentuk jalan raya boleh membantu dengan memastikan pandangan pengguna tidak terhalang. 

“Ia menjadikan selekoh lebih ketat supaya pemandu memperlahankan kenderaan ketika membelok, serta mengasingkan pergerakan penunggang basikal daripada kenderaan yang membelok di persimpangan sibuk.

“Jalan raya yang lebih selamat memberi pengguna masa untuk melihat satu sama lain dan ruang untuk melakukan kesilapan biasa,” ujarnya. 

Cik Muhaini berharap jalan raya di Singapura menjadi lebih selamat bagi penunggang basikal sepertinya. Langkah pertama untuk melahirkan keadaan ini adalah apabila semua pengguna jalan raya bersikap saling hormat-menghormati.

“Tidak berbaloi jika kita kehilangan orang yang kita sayangi hanya kerana tidak saling mengerti,” katanya.

Penghantar makanan basikal Grab, Cik Siti Muhaini Mohd Fadil.
Penghantar makanan basikal Grab, Cik Siti Muhaini Mohd Fadil. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“

“Bila nampak sebuah teksi biru perlahankan kenderaan, saya sangka beliau nak berhenti dan bagi saya laluan. Tapi tak sangka pula, ketika saya kayuh melintas, beliau tiba-tiba pecut dan langgar bahagian belakang basikal saya... Saya perlu jaga keselamatan diri sebab anak-anak tunggu di rumah, diri saya sendiri perlu bertanggungjawab.”
Cik Siti Muhaini Mohd Fadil, penghantar makanan basikal Grab yang alami kemalangan jalan raya pada 2022.

“

“Justeru, untuk kayuhan latihan yang lebih pantas atau berkumpulan, jalan raya menjadi pilihan yang perlu demi mengelakkan risiko berlanggar atau mengganggu pejalan kaki.”
Encik Khairi Omar, penunggang basikal di jalan raya selama lebih sedekad.

“

“Keadaan sebegini menimbulkan kebimbangan rasa takut dalam kalangan pemandu. “Sebagai pemandu, kita bukan sahaja perlu berikan perhatian kepada kenderaan lain, malah perlu sentiasa menjangkakan pergerakan penunggang basikal yang mungkin berubah secara tiba-tiba.”
Encik Kamarulzaman Omar, pemandu kereta yang pernah melihat penunggang basikal tidak berhati-hati di jalan raya.