BUAT julung-julung kalinya selepas pandemik Covid-19, seramai 1,000 penduduk Marine Parade, MacPherson dan Mountbatten daripada berbilang bangsa dan agama berkumpul untuk menyertai acara berbuka puasa beramai-ramai pada Ahad.

Dianjurkan Marine Parade GRC, pertubuhan akar umbi MacPherson dan Mountbatten dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim (IMSSA), acara yang diberi nama 'Breaking Fast in Harmony' atau 'Berbuka Puasa dalam Harmoni' itu diadakan di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai.

Ia merupakan acara buka puasa secara fizikal pertama yang diadakan bagi penduduk Kelompok Marine Parade sejak permulaan pandemik Covid-19.

Sekitar sepertiga hadirin merupakan individu bukan Muslim.

Turut hadir di acara tersebut ialah Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang, Encik Edwin Tong; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng; Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin; Penasihat kepada pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Marine Parade, Encik Seah Kian Peng; Penasihat GRO SMC MacPherson, Cik Tin Pei Ling; dan Penasihat GRO SMC Mountbatten, Encik Lim Biow Chuan.

Encik Fahmi, dalam ucapannya, berkata:

"Kami telah merancang bagi acara ini sejak 2019, tetapi disebabkan Covid-19, amat sukar untuk menganjurkannya... jadi saya sangat gembira melihat anda semua di sini dan menjadikan acara ini satu kenyataan.

"Acara ini membolehkan kita semua berkumpul, saling kenal-mengenal... dan menjadi lebih rapat lagi."

Sebelum berbuka puasa, para hadirin sempat mendengar perkongsian Ketua Dakwah dan Pendekatan Masyarakat, Masjid Darul Aman, Ustaz Muhd Ridzwan Abdul Manap, berkenaan puasa, keistimewaan bulan Ramadan bagi masyarakat Muslim, mengapa mereka berpuasa serta manfaat berpuasa.

Selain itu, Ustaz Ridzwan turut berkongsi amalan berpuasa yang terdapat dalam agama-agama lain.

"Puasa bukan sahaja bagi kaum Muslim, agama lain juga ada puasa, misalnya orang Kristian, penganut Buddha dan penganut agama Tao juga ada puasa mereka sendiri.

"Bagi kita, puasa lebih daripada setakat menahan diri daripada makan dan minum, ia juga tentang pembangunan diri, mendapatkan ketenangan rohani dan mengukuhkan hubungan kita dengan Pencipta kita," ujar Ustaz Ridzwan.

Dalam pada itu, acara berbuka puasa itu juga mahu menekankan pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar.

Sebagai sebahagian daripada kempen #SG Lebih Sihat, penduduk berbuka puasa dengan nasi pilau dan ayam lada hitam serta buah-buahan segar sebagai pilihan hidangan yang lebih sihat.

Makanan dimasak oleh sukarelawan dari IMSSA menggunakan minyak masak yang lebih sihat.

Para hadirin turut menerima beg cenderahati yang mengandungi snek berkhasiat yang ditaja oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan resipi lebih sihat yang mudah diikuti.

Demi mewujudkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar pula, kotak bento dan perkakas makan biodegradasi dan bukan plastik telah digunakan.

"Acara ini membolehkan kita semua berkumpul, saling kenal-mengenal... dan menjadi lebih rapat lagi."

- Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.