SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Berfikiran positif, cekal lalui 15 pembedahan

Berfikiran positif, cekal lalui 15 pembedahan

Penghidap sakit 'spina bifida' kini sudah capai usia 53 tahun walau diramal dapat hidup hingga 18 tahun saja
Jan 7, 2021 | 5:30 AM

Berfikiran positif, cekal lalui 15 pembedahan

DARI kecil hinggalah dewasa, kehidupan Syed Abdul Rashid Aljunied banyak berulang-alik ke hospital.

Ulang tahunnya pun kadangkala disambut di bilik wad.

Sejak lahir, beliau menghidapi penyakit spina bifida yang jarang berlaku di Singapura yang berpunca daripada kebocoran dalam saluran otaknya.

Pakar-pakar perubatan sebelum ini telah memberitahu ibu bapanya bahawa beliau hanya akan dapat hidup sehingga berusia 18 tahun.

Tetapi, dengan kehendak tuhan, beliau yang sudah menjalani 15 pembedahan masih meneruskan kehidupan pada usia 53 tahun.

Pelbagai macam pembedahan dilalui sejak kecil termasuk memasukkan pundi kencing buatan dan memperbetulkan kakinya yang cacat.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Syed Abdul Rashid tetap bertekad menjalani kehidupan seperti orang biasa bagi menyara kehidupannya dan juga ibunya yang sudah berusia 79 tahun.

Memulakan perniagaannya untuk berdikari, pemilik Souqahlulbayt itu menjual pelbagai barangan seperti madu, minyak atar dan minyak wangi yang diimport dari Timur Tengah.

Namun, sebelum membangunkan perniagaan dari rumah pada 1994, beliau mengalami pelbagai cabaran mencari pekerjaan sepenuh masa.

"Agak sukar untuk mencari pekerjaan sepenuh masa dengan keadaan saya begini.

"Kebanyakan pekerjaan yang saya lakukan sebelum ini hanya pekerjaan sambilan atau kontrak. Saya tidak berpeluang untuk mengambil pekerjaan sepenuh masa kerana apabila majikan saya melihat keadaan saya, mereka berkata mereka tidak mampu mengambil saya.

"Dari situ, saya pun mula menjadi peniaga. Sebelum ini, saya cuba menjual barangan yang trendy seperti pakaian dan perhiasan kristal swarovski.

"Baru tujuh tahun lalu, saya mula menjual barangan sunah yang mendapat sambutan yang baik. Jadi sehingga kini, saya teruskan menjual barangan tersebut," katanya sambil menambah bahawa beliau sering keluar masuk hospital akibat jangkitan prostat, pundi kencing dan buah pinggang.

Oleh sebab penyakitnya, pundi kencingnya tidak berfungsi, lantas beliau perlu menggunakan lampin dewasa serta kateter air kencing sepanjang hayat.

Dengan kos perubatan serta barangan lain yang menelan beratus dolar setiap bulan walaupun selepas subsidi, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata perniagaan yang dijalankan itu dapat membantunya menanggung kos tinggi tersebut.

Tahun ini, Syed Abdul Rashid dijadualkan menjalani dua lagi pembedahan bagi mengeluarkan hernia dan tumbuhan sebesar satu sentimeter di bahagian atas spinanya.

"Sebenarnya, hernia itu sudah lama ada, tetapi sekarang ia terlalu sakit sehingga saya perlu menggunakan tali pinggang hernia. Jika tidak, saya tidak boleh bergerak.

"Bagi tumor itu pula, buat sementara ini ia bukan barah. Saya mempunyai jadual untuk berjumpa doktor dalam beberapa minggu ini bagi membincang sekiranya saya perlu melakukan pembedahan itu.

"Sebelum ini, mereka berkata pembedahan itu mempunyai risiko yang besar kerana ia berdekatan dengan saraf saya.

"Jadi mungkin ada komplikasi sekiranya saya melakukan pembedahan," katanya.

Meskipun Syed Abdul Rashid berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu, beliau melahirkan rasa syukur kerana masih dapat menjaga ibunya.

"Kadangkala, ada juga rasa bingit dengan keadaan saya ini tetapi kehidupan harus diteruskan.

"Memang ada hari, saya rasa murung. Tetapi, saya rasa tidak ada gunanya rasa tertekan kerana ia tidak akan mengubah keadaan.

"Yang penting adalah untuk terus mempunyai sikap positif kerana ramai lagi yang mungkin menghadapi cabaran yang lebih sukar. Saya masih boleh berjalan dan membuat penghantaran saya sendiri. Ada yang tidak boleh langsung," ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg