Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berita Harian raih anugerah global bagi transformasi bilik berita

May 23, 2025 | 4:27 PM
SPH Media mencatat kejayaan cemerlang di Anugerah Media Global 2025 anjuran Persatuan Media Berita Antarabangsa (INMA).
SPH Media mencatat kejayaan cemerlang di Anugerah Media Global 2025 anjuran Persatuan Media Berita Antarabangsa (INMA). - Foto PERSATUAN MEDIA BERITA ANTARABANGSA (INMA)

Berita Harian (BH) telah meraih gangsa bagi kategori Transformasi Bilik Berita Terbaik (Jenama Nasional) di Anugerah Media Global 2025 anjuran Persatuan Media Berita Antarabangsa (INMA).

Alma Media dari Finland meraih tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh syarikat media Jerman, Ippen Digital.

Para pemenang bagi 20 kategori telah diumumkan semasa majlis anugerah di Edison Ballroom, New York City, pada 23 Mei (waktu Singapura), dengan Persatuan Penerbit Akhbar Serantau Bebas Ukraine meraih penghormatan tertinggi sebagai pemenang keseluruhan global.

Dianjurkan setiap tahun sejak 1937, pertandingan Anugerah Media Global 2025 telah menarik 839 penyertaan daripada 286 jenama media berita terkemuka di 49 negara.

Penyertaan termasuk media akhbar, majalah, digital, televisyen dan radio. Juri antarabangsa terdiri daripada 60 eksekutif media dari 26 negara, telah memilih 198 finalis pada awal 2025.

Anugerah berprestij ini mengiktiraf usaha BH dalam merombak strateginya bagi memperkukuh keterlibatan digital dan membina hubungan lebih erat dengan masyarakat Melayu.

Transformasi BH memberi tumpuan kepada pendekatan menyeluruh bilik berita, menyepadukan pembangunan kandungan dengan usaha keterlibatan khalayak. Matlamat utamanya termasuk memperkukuh hubungan dengan pembaca, membina masyarakat digital dan mengembangkan jangkauan media sosial.

Antaranya, pelancaran BH Lab yang menumpukan pada liputan pantas dan setempat menyumbang kepada peningkatan 68 peratus dalam jumlah tontonan halaman dari Januari 2023 hingga Disember 2024.

Untuk mendekati golongan muda, BH memperkenalkan OMG (Orang Muda Gitew) pada Disember 2023 – sebuah platform digital khas untuk belia Melayu – yang kini meraih lebih 43,000 pengikut di Instagram, TikTok dan YouTube.

Kandungan berasaskan masyarakat seperti makanan (Kaki Makan), pelancongan (Kaki Jalan), dan keibubapaan (Dunia Anak) turut mempererat hubungan dengan pembaca, manakala inovasi digital seperti kuiz harian dan penjanaan ringkasan berita menggunakan AI mempertingkat pengalaman pengguna.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkongsi bahawa penganugerahan tersebut mencerminkan usaha keras dan komitmen pasukan BH dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pembaca.

“Kami amat teruja menerima anugerah media dunia yang berprestij ini. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan semua staf di BH yang bekerja keras menjayakan proses transformasi bilik berita sejak dua tahun lalu.

“Saya berharap kejayaan ini akan mendorong kami untuk memikat lebih ramai pembaca dan penonton pada masa depan menerusi penghasilan kandungan berbilang media yang informatif, menarik dan kreatif,” kongsi beliau.

Ini merupakan kali kedua BH terima pengiktirafan antarabangsa. Sebelum ini, BH raih perak dalam kategori Projek Terbaik bagi Kecelikan Berita di Anugerah Media Digital Asia 2021 WAN-IRFA bagi ciptaan alat terjemahan.

Media lain dalam Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media juga menerima penghargaan.

Akhbar The Straits Times meraih tempat pertama dalam kategori Produk atau Ciri Audio/Suara Baru Terbaik (Jenama Nasional) bagi ciri audio Sounds of Singapore, serta tempat kedua bagi kategori Penggunaan Cetakan Terbaik (Jenama Nasional) melalui infografik kerjaya Taylor Swift.

Akhbar Tamil Murasu memenangi tempat kedua bagi Aplikasi Digital Baru Terbaik (Jenama Nasional) bagi aplikasi mudah alih mereka Daily News yang dilancarkan pada Oktober 2023.

Sementara The Business Times mendapat penghargaan khas bagi thrive, inisiatif akhbar tersebut yang menyasarkan golongan muda dalam kategori Inisiatif Terbaik Memperkasa Pembaca Generasi Akan Datang (Jenama Nasional).

“Kami amat teruja menerima anugerah media dunia yang berprestij ini. Anugerah ini mengiktiraf sumbangan semua staf di BH yang bekerja keras menjayakan proses transformasi bilik berita sejak dua tahun lalu. Saya berharap kejayaan ini akan mendorong kami untuk memikat lebih ramai pembaca dan penonton pada masa depan menerusi penghasilan kandungan berbilang media yang informatif, menarik dan kreatif.”
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg