Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kapal pelayaran kembali ke S'pura lebih awal, satu kes Covid-19 berkait kelompok KTV dikesan

Jul 15, 2021 | 5:30 AM
KEMBALI LEBIH AWAL: Kapal pelayaran World Dream kendalian Dream Cruises di dok Marina Bay Cruise Centre semalam ekoran kes Covid-19 yang disyaki ke atas seorang tamu kapal pelesiran itu. - Foto BH oleh KEVIN LIM
KEMBALI LEBIH AWAL: Kapal pelayaran World Dream kendalian Dream Cruises di dok Marina Bay Cruise Centre semalam ekoran kes Covid-19 yang disyaki ke atas seorang tamu kapal pelesiran itu. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

KAPAL pelayaran World Dream yang dikendalikan oleh Dream Cruises kembali ke Singapura lebih awal daripada yang dijadualkan semalam selepas satu kes Covid-19 didapati dalam kapal itu.

Kapal pelayaran itu kembali ke Pusat Pelayaran Marina Bay pada 6.30 pagi semalam, beberapa jam sebelum ia dijadualkan kembali pada 9 pagi.

Pelayaran empat hari tiga malam itu disertai 1,645 tamu serta 1,249 kru dan berlepas pada Ahad lalu.

Menerusi satu kenyataan semalam, pengarah kapal pelayaran Lembaga Pelancongan Singapura (STB) Annie Chang, berkata Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan bahawa seorang tamu berusia 40 tahun telah diuji positif bagi Covid-19.

Ini selepas beliau dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) bagi rawatan dan pemantauan tengah hari semalam.

Tambahnya, tamu itu telah dikenal pasti sebagai kontak rapat individu yang dijangkiti Covid-19 sebelum beliau sertai pelayaran itu kelmarin dan segera diasingkan bagi pemeriksaan di pusat perubatan kapal pelayaran.

Kes ini kini dikaitkan dengan kelompok jangkitan yang kian membesar melibatkan pusat hiburan KTV dan kelab malam di sini.

Penjejakan kontak sedang dijalankan dan kontak rapat tamu itu akan dikenakan arahan kuarantin.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, semua tamu juga perlu memantau kesihatan mereka selama 14 hari dari hari mereka turun dari kapal itu dan menjalani ujian swab di prasarana swab pemerintah yang ditetapkan pada akhir tempoh pemantauan itu," kata Cik Chang.

Sejajar dengan rancangan respons kesihatan sedia ada bagi kapal pelayaran perintis, penjejakan kontak segera bermula dan semua kegiatan riadah dalam kapal berhenti pagi semalam selepas tamu tersebut diuji positif, tambahnya.

Cik Chang berkata penumpang juga diminta tidak keluar dari kabin masing-masing, dengan makanan dihantarkan ke kabin mereka tanpa kontak.

Menerusi satu kenyataan semalam, Dream Cruises berkata tamu itu telah menerima dua dos vaksinasi Covid-19.

"Dream Cruises ingin mengulangi bahawa keselamatan dan kesejahteraan tamu dan kru kami merupakan keutamaan pertama kami dan kami sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa Singapura," kata pengendali kapal pelayaran itu.

Tambahya, mereka juga telah membatalkan pelayaran dua malam World Dream yang sepatutnya berlepas dari Singapura 9 malam tadi.

"Apabila kes itu dikenal pasti, penjejakan kontak dalam kapal segera dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan tamu dan kru yang ada kontak rapat (dengan tamu yang dijangkiti Covid-19 itu) untuk menjalani kuarantin dan pemeriksaan," kata Dream Cruises.

Malah, menurutnya, kerja pembersihan penuh juga dijalankan dalam kapal itu termasuk di semua kawasan yang dikunjungi tamu tersebut.

Dream Cruises berkata kapal World Dream itu juga dilengkapi dengan sistem pengaliran udara segera luar 100 peratus yang menapis dan membekalkan udara ke kabin tamu dan tempat awam.

Sejak beroperasi semula pada awal November lalu, World Dream telah mengadakan 103 pelayaran dengan lebih 130,000 tamu hingga 11 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg