Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berita S’pura akan laksana semula pemutus rantaian jangkitan adalah palsu: DPM Wong

Dec 12, 2023 | 2:31 PM
BERITA PALSU: Maklumat yang tersebar di media sosial bahawa pemerintah merancang laksanakan semula pemutus rantaian jangkitan  adalah palsu. Catatan yang menunjukkan beliau menyokong barangan komersial juga adalah berita palsu.
BERITA PALSU: Maklumat yang tersebar di media sosial bahawa pemerintah merancang laksanakan semula pemutus rantaian jangkitan  adalah palsu. Catatan yang menunjukkan beliau menyokong barangan komersial juga adalah berita palsu. - Foto ST

Maklumat yang kini tersebar luas di media sosial bahawa pemerintah merancang untuk melaksanakan semula langkah pemutus rantaian jangkitan adalah palsu, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam hantarannya di Facebook pada 11 Disember.

Beliau turut menegaskan bahawa catatan dan mesej yang menunjukkan beliau menyokong beberapa barangan komersial juga adalah berita palsu dan penipuan yang mengguna teknologi ‘deepfake’.

“Ini semua palsu,” kata Encik Wong, sambil menggesa orang ramai untuk “terus berhati-hati dan bijak membuat penilaian ketika dalam talian”, lapor The Straits Times (ST).

Teknologi ‘deepfake’ antara lain boleh meniru gambar malah suara seseorang. 

Pada 2020, pemerintah memperkenalkan langkah pemutus rangkaian untuk membendung penularan Covid-19.

Singapura kini mencatat kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Pada minggu berakhir 2 Disember, 32,035 orang didiagnos menghidap virus itu – jumlah jangkitan tertinggi yang dicatat hingga tarikh itu pada 2023.

Pada minggu 19 hingga 25 November, jumlah jangkitan Covid-19 tempatan naik dua kali ganda kepada 22,094 daripada 10,726 pada minggu sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan pada 2 Disember.

Terdapat sekurang-kurangnya empat kejadian akaun palsu lain pada 2023 yang menyamar sebagai tokoh awam.

Pada November, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon memaklumkan pengikutnya mengenai akaun palsu di Instagram yang menyamar sebagai dirinya, dan menyalin hantaran serta kapsyennya.

Beberapa akaun WhatsApp palsu yang menyamar sebagai Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, turut dikesan pada Oktober.

Pada September, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, turut menjadi mangsa apabila terdapat akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai mereka.

Seperti Encik Koh, gambar dan hantaran mereka di media sosial juga disiarkan semula di akaun palsu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg