Topik diikuti
Pergi ke BHkuBerjaya turunkan berat badan, peserta kongsi perlunya beri tumpuan pada pemakanan
Berjaya turunkan berat badan, peserta kongsi perlunya beri tumpuan pada pemakanan
Berjaya turunkan berat badan, peserta kongsi perlunya beri tumpuan pada pemakanan
SETELAH berjaya menurunkan berat badannya dengan cara menjaga pemakanan dan bersenam, Ikhmal Haziq Mostamum Halim kini terdorong membantu orang lain dalam masyarakat Melayu/Islam agar turut menjalani gaya hidup yang lebih baik.
Justeru, kelmarin beliau meluangkan beberapa jam dengan menyertai sesi pendampingan awam Healthier SG (atau SG Lebih Sihat) anjuran Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memahami lebih lanjut daya usaha penjagaan awam baru itu.
"Saya menyertai sesi pendampingan ini kerana saya mahu menimba ilmu dan belajar apakah daya usaha kementerian bagi warga negara Singapura, dan saya juga mahu melihat apakah daya usaha yang boleh membantu masyarakat Melayu di Singapura melalui Healthier SG," kata pelajar Institut Millenia berusia 19 tahun itu.
Haziq berkata beliau mula berminat dalam bidang kesihatan setelah berjaya menurunkan berat badannya daripada 100 kilogram kepada 70 kilogram dalam tempoh satu tahun.
"Setelah melalui proses menurunkan berat badan saya dan tekad untuk lebih banyak bersenam dan menjaga diet saya, saya rasa ini adalah sesuatu yang saya dapat lakukan untuk membantu masyarakat kita," katanya.
Anak tunggal itu berkata beliau telah mengalami masalah berat badan sejak kecil dan tempoh Pemutus Rantaian jangkitan dua tahun lalu membuat berat badannya melonjak.
Setelah berasa tidak sihat dan muntah selepas satu kelas kegiatan jasmani di sekolah, beliau bertekad memperbaiki keadaan dirinya dengan menurunkan berat badan.
Haziq mula mengikuti saranan pakar pemakanan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) yang ditemuinya sekali setiap tiga bulan untuk menurunkan berat badan melalui tiga aspek iaitu pemakanan, senaman dan tidur.
Bermula dengan berjalan kaki, beliau lama-lama mampu berlari-lari anak dan kini sering berlari dari sekolah ke rumah sejauh sekitar 10 kilometer.
Dari segi pemakanan pula, Haziq berkata beliau masih terus makan makanan biasa beliau seperti nasi, cuma beliau menikmatinya dalam jumlah lebih kecil.
"Kalau dulu saya makan satu pinggan nasi, kini saya kurangkan kepada suku pinggan nasi. Yang agak mencabar bagi saya ialah menyertakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan saya.
"Tetapi pakar pemakanan menasihatkan saya agar makan sayur-sayuran yang saya suka dan biasa makan," katanya.
Pada sesi pendampingan semalam, Haziq telah berkongsi tentang perlunya orang ramai memberi lebih tumpuan kepada pemakanan mereka.
"Saya berharap orang ramai dapat mengurangkan pengambilan gula, garam dan karbohidrat serta makan lebih banyak sayur-sayuran. Saya berharap doktor dapat memberi nasihat ini kepada orang ramai yang menemui mereka," katanya.
