CIK Zaitoon Bee Syed Mohd seorang wanita yang suka bekerja dan berkawan, tetapi demi menjaga anaknya yang kurang sihat, beliau sanggup mengetepikan keinginannya.
Beliau telah beberapa kali berhenti kerja dalam masa sekitar 20 tahun sejak anak sulungnya disahkan menghidap kencing manis yang berpunca daripada makan berlebihan akibat stres.
Apabila emosi anaknya stabil, Cik Zaitoon, 58 tahun, keluar bekerja. Tetapi apabila mood anaknya mula turun, beliau berhenti supaya dapat berada di samping anaknya itu.
"Saya tidak mahu tinggalkan anak saya seorang diri di rumah dalam keadaan moodnya yang kurang baik... kalau saya ada, saya boleh beri perhatian kepadanya," kata ibu tiga anak berusia antara 39 dengan 32 tahun itu.
Kini anak Cik Zaitoon tidak lagi perlu mengambil sebarang ubat bagi mengawal penyakit kencing manisnya itu, setelah menjalani pembedahan bariatrik bagi mengawal berat badan.
Semalam, Cik Zaitoon diberi Anugerah Pengasuh dalam majlis Hari Kencing Manis Sedunia anjuran Diabetes Singapore.
Anugerah itu mengiktiraf pengasuh yang memberi inspirasi dengan mendedikasikan masa, kemahiran dan kasih sayangnya dalam menjaga pesakit kencing manis.
Secara keseluruhan, lima kategori anugerah diberikan kepada tujuh penerima di majlis tersebut, termasuk Encik Ahmat Pagi yang tabah menghadapi penyakit kencing manis selama lebih tiga dekad dengan sokongan isterinya, Cik Hamidah M Noor.
LAPORAN SELANJUTNYA: Terus semangat jalani hidup walau kaki tidak kuat dek kencing manis
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg