Topic followed successfully
Go to BHkuBermula tahi mata berlebihan anak terpaksa masuk ICU
Bermula tahi mata berlebihan anak terpaksa masuk ICU
Bermula tahi mata berlebihan anak terpaksa masuk ICU
SEDANG ramai keluarga sibuk membuat kunjungan sempena Syawal, pasangan suami isteri Encik Mohamed Basir Mohamed Shariff dan Cik Windiah, terpaksa berganti-ganti bermalam di hospital semata-mata untuk menemani anak mereka yang menghidap sejenis penyakit yang mudah dijangkiti si kecil.
Umar Syarif Mohamed Basir, 22 bulan, dikesan menghidap Virus Parainfluenza Manusia (HPIV) dua minggu semasa Syawal.
Bermula dengan masalah tahi mata yang berlebihan, suhu badannya meningkat sehingga mencecah 40 darjah Celsius sehingga anaknya itu terpaksa dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) di hospital selama tujuh hari.
Mujur kanak-kanak itu telah pulih dan dibenarkan pulang pada Khamis - hampir dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital.
Menceritakan tanda-tanda yang dialami anaknya, Encik Basir, 56 tahun, berkata pada 4 Mei lalu masalah tahi mata yang berlebihan keluar dari mata anaknya sehingga menyebabkannya bengkak.
"Saya bawanya ke klinik tapi kemudian diberitahu doktor matanya itu mengalami masalah jangkitan.
"Doktor berikan ubat mata dan beritahu saya agar pantau anak kami itu," katanya.
Tanpa diduga, masalah tersebut beralih pula kepada suhu badan yang "turun naik" - pada satu ketika mencecah sehingga 40 darjah Celsius - selain menghadapi kesukaran semasa bernafas.
Ini membuat anak bongsu dua beradik itu kurang aktif dan menangis tanpa henti.
"Sebelum semua ini berlaku kami keluar berjalan Raya seperti keluarga lain.
"Tapi semasa anak kami dimasukkan ke hospital kami tidak dapat lakukan kunjungan Hari Raya sepanjang tempoh itu," ujar Encik Basir yang merupakan seorang pendidik Al-Quran secara bebas.
Encik Basir berkata doktor pada awalnya menyangka anaknya itu menghidap masalah lelah, namun pemeriksaan selanjutnya mendapati anaknya itu menghidap HPIV.
Dalam jawapannya kepada Berita Harian, Ketua dan Konsultan Kanan Divisyen Penyakit Berjangkit Pediatrik Institut Perubatan Kanak-Kanak Khoo Teck Puat - Universiti Nasional di Hospital Universiti Nasional (NUH), Dr Chan Si Min, berkata HPIV merupakan virus pernafasan yang biasanya menyebabkan jangkitan pada saluran atas pernafasan sehingga berlakunya selesema, batuk, atau batuk croup (batuk menyalak dan pernafasan bising).
"Kebanyakan kanak-kanak dijangkiti sekali menjelang usia lima tahun," katanya.
Akibat HPIV, Umar Syarif yang merupakan anak kedua Encik Basir telah dimasukkan ke ICU dan terpaksa bergantung kepada alat pernafasan selama beberapa hari.
Pada masa itu, beliau dan isterinya bergilir-gilir menjaga anak mereka itu di hospital, memandangkan anak sulung mereka, Aysha Nabila Mohamed Basir, lima tahun, masih memerlukan perhatian mereka juga.
Cik Windiah, 34 tahun, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura asal Indonesia, berkata:
"Tatkala Umar diserang sesak pernafasan, saya berasa amat bimbang dan takut sesuatu yang buruk terjadi padanya.
"Apabila dia dimasukkan ke ICU dengan tiub bantuan pernafasan serta ubat, saya berasa amat sedih melihat keadaannya dan sering menangis.
"Namun, setelah beberapa hari saya mulai reda bahawa ini sesuatu yang di luar kuasa kami."
Menurutnya anak kedua mereka itu kini mula kembali pulih selepas mengalami episod yang mendebarkan itu.
Umar Syarif juga dikatakan sudah mula mengukir senyuman dan dibenarkan minum susu seperti biasa, kata Encik Basir.
"Kami akan cuba memastikan dengan sedaya upaya kami untuk bersihkan keadaan rumah dengan lebih gigih sedikit daripada biasa, agar dapat mengelakkan perkara yang sama daripada berulang buat anak-anak kami," tambah Cik Windiah.

