SEBAIK sahaja puasa bermula, Cik Mariam Samat pasti sibuk mengendalikan gerai makanan di bazar Ramadan.

Pekerjaannya sebagai pembantu gerai sambilan sedikit sebanyak membantu membiayai perbelanjaan keluarganya.

Namun setelah sekian lama bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B), Cik Mariam, 47 tahun, merasakan beliau masih mampu meningkatkan serta meluaskan kemahiran dalam bidang lain sebagai persediaan meniti masa depan.

"Setiap Ramadan, saya akan membantu di gerai makanan di Bazar Geylang. Selain itu, apabila diperlukan, saya akan bekerja secara sambilan membantu mengendalikan kedai seperti pasar malam," kata Cik Mariam, yang ditemani dua anggota keluarga ketika ditemui di acara 'Raikan Ilmu@South East, semalam.

Acara yang merupakan sebahagian daripada Pesta Skills Future itu diadakan di Wisma Geylang Serai dan dihadiri seramai 3,000 pengunjung.

Diadakan buat julung kali dan melibatkan 15 agensi seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dan Persatuan Rakyat (PA), ia dilancarkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Encik Seah Kian Peng (Penasihat Akbar Umbi Marine Parade GRC GRO); Cik Jessica Tan (Penasihat Akar Umbi East Coast GRC GRO); Encik Lee Yi Shyan (Penasihat Akar Umbi East Coast GRC GRO); dan Cik Cheryl Chan (Penasihat Akar Umbi Fengshan GRO).

Antara lain, ia bertujuan memberi peluang kepada hadirin mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang menjalani latihan serta meningkatkan tahap kemahiran seperti hal kewangan, pendidikan dan latihan berterusan menerusi program dan bengkel khas.

Menurut Cik Mariam, acara sebegitu membantu beliau dan masyarakat mencari pekerjaan atau kemahiran baru di bawah skim SkillsFuture.

Ia juga membantu beliau memahami lebih lanjut mengenai skim dan dasar baru yang diumum pemerintah.

"Pemerintah telah banyak mengeluarkan skim bagi rakyat dan tidak semestinya kalau kita tidak tahu kita tidak boleh bertanya.

"Jadi acara seperti ini banyak membantu, terutama bagi masyarakat kita mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim baru dan cara kita boleh memanfaatkannya.

"Selain itu, ia memberi kita peluang cari kemahiran baru... jadi saya pun tidak mahu lepaskan peluang," kata ibu empat anak berusia antara 13 dengan 27 tahun itu.

Dalam ucapannya, Dr Mohamad Maliki telah mengumumkan bahawa CDC South East akan terus meningkatkan usaha mendekati masyarakat dengan bengkel SkillsFuture.

"Kita akur bahawa pembelajaran sepanjang hayat adalah satu nilai yang perlu diterapkan dalam jiwa rakyat kita.

"Pada masa sama, kita juga akur ini memerlukan kerja kuat kita mendekati masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mereka dan memanfaat segala kemudahan yang disediakan," katanya.

Justeru, tambah beliau, South East CDC akan terus mendekati masyarakat dengan membawa bengkel SkillsFuture ini ke kejiranan seperti di pasar dan pusat makanan.

"Sebagai permulaan, kita mengadakan bengkel ini di Pasar Geylang Serai dengan menyediakan maklumat penting untuk mereka yang mengunjungi pasar tersebut memahami program SkillsFuture pemerintah dan bagaimana mereka dapat memanfaatkannya.

"Kami harap lebih ramai lagi masyarakat Melayu yang akan mempertingkatkan diri mereka demi menyesuaikan diri dengan perubahan sekitaran yang pesat," kata beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti