Bersemangat 'tidak menyerah kalah'
MAHU berdikari dan tidak mahu bergantung kepada orang lain.
Itulah iltizam teguh yang dipasak Encik Zahid Yassin - contoh inspirasi penerima zakat 'tidak menyerah kalah' - pada dirinya sejak dari bangku sekolah lagi.
Beliau dilahirkan dengan kondisi spinal bifidia, iaitu satu kondisi yang menjejas tulang belakang dan bahagian kaki.
Ini bermakna pergerakan beliau terbatas dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak di luar rumah.
Namun, Encik Zahid, 40 tahun, tidak mahu berserah dengan keadaannya itu.
Apatah lagi beliau, yang merupakan anak ketiga dalam keluarga enam adik-beradik, mendapat sokongan teguh anggota keluarganya.
"Mereka ada bantu saya dulu. Mereka hantar saya ke sekolah menaiki kereta kemudian kalau ibu dan ayah keluar, mereka akan jaga saya di rumah,'' kongsi Encik Zahid sambil meluahkan kesyukuran mempunyai anggota keluarga sedemikian.
Dengan itu, sebaik saja beliau menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Encik Zahid bertekad untuk terus mendapatkan pekerjaan supaya dapat menanggung kehidupan dirinya sendiri.
Beliau diambil bekerja sebagai seorang kakitangan pentadbiran dan perkhidmatan pelanggan dan telah bekerja selama sekitar 14 tahun.
"Saya lebih suka ikhtiar sendiri untuk menjana pendapatan,'' kata Encik Zahid.
Dengan tekad itu juga beliau kemudian memulakan khidmat Ayeed The Courier sekitar enam tahun lalu.
Berbekalkan semangat serta kesungguhan, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan menjadi seorang penghantar barangan secara bebas.
Walau berkerusi roda, Encik Zahid memastikan beliau dapat melakukan sekurang-kurangnya tiga penghantaran setiap hari di serata negara.
Tetapi bukan itu saja cabaran yang beliau lalui.
Tahap kesihatan ibu bapa Encik Zahid menjadi semakin teruk.
Ayahnya, Encik Yassin Ismail, 67 tahun, menghidapi penyakit kegagalan ginjal sementara ibunya, Cik Zarimah Harun, 64 tahun, mengalami beberapa penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Namun Encik Zahid tetap bersemangat dan tidak menyerah kalah dengan meneruskan tugasan demi menjana pendapatan agar dapat membantu ibu bapanya.
Beliau juga mendapat bantuan badan-badan kebajikan selain menjadi penerima zakat.
"Saya memang tidak suka berbelanja. Jadi gaji dan simpanan saya cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan pembayaran bil bulanan.
"Bantuan zakat ini ibarat rezeki... kalau ada apa-apa kejadian atau kecemasan, ada juga sedikit kelebihan untuk saya menggunakan wang bantuan itu kerana wang bantuan itu adalah untuk perkara yang benar-benar perlu bagi saya atau ibu bapa saya,'' kata Encik Zahid sambil menunjukkan alat pemantauan tekanan darah untuk ibu yang dibeli dengan wang sumbangan yang diterima.
Encik Zahid menjelaskan bahawa sebelum ini, jika ada keperluan kecemasan, beliau terpaksa menangguh pembayaran bil api air selama satu hingga dua bulan.
Dengan bantuan zakat yang diterima beliau lebih setahun ini, beliau tidak lagi perlu risau tentang perkara tersebut.
Katanya: "Sekarang alhamdulillah setiap bulan saya dapat membayar (bil) sepenuhnya. Saya tidak perlu lagi bayar sedikit-sedikit ataupun meminjam."
Berkat bantuan diterima serta sifatnya yang memang suka berhemat dalam perbelanjaan mendorongnya mencapai dua kejayaan peribadi - membeli rumah sendiri bersama ibu bapanya, malah Encik Zahid juga dapat mengerjakan umrah sekitar dua tahun lalu.
Lantas, beliau amat berharap golongan kurang upaya sepertinya tidak berputus asa dan terus berusaha.

