SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bertekad jadi pengadil piala dunia

Bertekad jadi pengadil piala dunia

Impian seorang pengadil bola sepak wanita yang diiktiraf Fifa...
Mar 30, 2021 | 5:30 AM

Bertekad jadi pengadil piala dunia

PENGADIL BOLA SEPAK BERI IMPAK BESAR DALAM HIDUP: Rohaidah mula berkecimpung dalam bidang pengadil bola sepak pada 2004 kerana ingin menambah pengetahuannya. Sepanjang perjalanan itu, beliau yakin ia memberi impak besar dalam hidupnya dari segi komitmen serta menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan tegas, selain meningkatkan tahap kecekalannya. - Foto BH oleh GIN TAY
PENGADIL BOLA SEPAK BERI IMPAK BESAR DALAM HIDUP: Rohaidah mula berkecimpung dalam bidang pengadil bola sepak pada 2004 kerana ingin menambah pengetahuannya. Sepanjang perjalanan itu, beliau yakin ia memberi impak besar dalam hidupnya dari segi komitmen serta menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan tegas, selain meningkatkan tahap kecekalannya. - Foto BH oleh GIN TAY -

Tahun 2021 telah diisytihar sebagai Tahun Meraikan Wanita. Sememangnya, wanita hari ini ibarat 'superwomen', memikul pelbagai peranan di rumah, dalam masyarakat dan di tempat kerja. Sebagai menghargai sumbangan dan pencapaian wanita Melayu setempat, BERITA HARIAN (BH) menyampaikan kisah-kisah mereka dalam siri rencana khas ini.

WALAU dengan berpakaian baju kurung, Rohaidah Nasir tidak melepaskan peluang bermain bola sepak di kolong blok bersama saudaranya sewaktu mereka kunjung-berkunjung di Hari Raya.

"Ketika saya kecil, saya seorang yang sangat aktif dan sering menyertai saudara lelaki saya bermain bola di kolong blok dan saya akan menjadi penjaga gawang.

"Saya ingat, saya pernah dimarah kerana bermain bola dengan berbaju kurung," seloroh Rohaidah.

Ketika membesar, beliau merupakan seorang yang gemarkan sukan. Rohaidah tidak membataskan dirinya dengan mencuba hanya satu sukan, malah memberanikan diri menyertai sukan yang sering dilakukan rakan lelaki sebayanya.

Selain bola sepak, beliau pernah mewakili sekolah dalam sukan padang dan balapan serta 'touch rugby'.

Namun di antara kesemua sukan tersebut, Rohaidah lebih cenderung pada bola sepak dan disebabkan minat tersebut, beliau kini merupakan seorang pembantu pengadil wanita yang diiktiraf Persekutuan Persatuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa).

Selain Rohaidah, 37 tahun, seorang lagi wanita tempatan yang telah menempa nama sebagai pengadil Fifa adalah Abirami Naidu - yang pernah mengendalikan perlawanan Piala Dunia Wanita di Canada pada 2015.

Rohaidah mula berkecimpung dalam bidang pengadil bola sepak pada 2004 kerana ingin menambahkan pengetahuannya tentang sukan tersebut.

Sepanjang perjalanan itu, beliau yakin ia telah memberi impak besar dalam hidupnya dari segi komitmen serta menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan tegas, selain meningkatkan tahap kecekalannya.

"Saya merupakan seorang pemain bola sepak yang ingin menjadi lebih bagus dan mahu meningkatkan lagi pengetahuan saya tentang bola sepak.

"Saya sering bertanya jurulatih saya dengan soalan mengenai sukan ini. Kadangkala sukar baginya memberi saya jawapan.

"Akhirnya beliau terbaca satu artikel mengenai kursus asas menjadi seorang pengadil di akhbar dan mendorong saya ikut serta.

"Dari mula, motivasi saya adalah untuk bermain dengan lebih baik jika anda mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang peraturan bola sepak. Semestinya ia telah banyak membantu saya," ujarnya yang juga merupakan jurulatih 'touch rugby'.

Ditanya mengapa beliau lebih minat menjadi pengadil bola sepak, satu kerjaya yang dikuasai lelaki, Rohaidah berkata beliau gemarkan cabaran.

Meskipun berdepan dengan tekanan untuk membuktikan kemampuannya, beliau tetap menghargai bantuan yang diberikan oleh rakan pengadil lain yang sering memberinya sokongan dan dorongan serta memberinya perlindungan.

Tekanan tersebut jelas dapat dirasakan sewaktu mengendalikan perlawanan bola sepak pertamanya sebagai pembantu pengadil.

"Saya rasa semua orang akan berasa gementar ketika memulakan perlawanan bola sepak pertama mereka dan saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan sewaktu perlawanan itu.

"Ia juga merupakan satu kejutan budaya bagi saya kerana kata-kata kesat yang sentiasa dilontarkan, dengan teriakan dan jeritan yang jelas didengar.

"Saya sedar ini mungkin sebahagian daripada adat perlawanan dan sehingga kini saya akan pastikan saya kekal tenang dan hanya gunakan kata-kata yang baik," tambah beliau yang mempunyai pengalaman mengendalikan perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) dan juga perlawanan di tahap antarabangsa.

Menceritakan detik pahit manis sepanjang menjadi pengadil, Rohaidah berkata beliau pernah menerima kritikan daripada sebahagian peminat yang sedang menonton perlawanan antara Tampines Rovers dan Albirex Niigata di stadium.

Kejadian itu melibatkan penjaga gawang yang melakukan tendangan gol ke arah rakan sepasukannya yang berada dalam posisi ofsaid.

"Ia menguji tahap pengetahuan saya kerana tidak ada ofsaid apabila tendangan gol dilakukan. Pemain itu menjaringkan gol dan saya membenarkannya.

"Saya boleh mendengar para penyokong menjerit dan memarahi saya kerana keputusan yang saya berikan itu. Terdapat juga sebilangan penyokong yang menyebelahi saya dan mula bertelingkah dengan penyokong lain.

"Ia satu peristiwa yang sangat lucu," kongsinya lagi.

Mengongsi tentang harapannya, Rohaidah berkata:

"Saya akan terus berusaha untuk mencapai impian saya menjadi pengadil bola sepak di Piala Dunia Wanita satu hari nanti. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan disiplin untuk mencapai impian tersebut.

"Saya juga berharap dapat berkongsi kisah dan pengalaman menarik kepada generasi muda sekali gus memberi inspirasi kepada mereka."

''Saya akan terus berusaha untuk mencapai impian saya menjadi pengadil bola sepak di Piala Dunia Wanita satu hari nanti. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan disiplin untuk mencapai impian tersebut. Saya juga berharap dapat berkongsi kisah dan pengalaman menarik kepada generasi muda sekali gus memberi inspirasi kepada mereka.'' - Rohaidah Nasir

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg