Topik diikuti
Pergi ke BHkuBG Fairoz: Latihan bermutu, teknologi, transformasi infantri teras kekuatan SAF
Teliti perubahan peperangan di seluruh dunia, harus sentiasa selangkah di hadapan
BG Fairoz: Latihan bermutu, teknologi, transformasi infantri teras kekuatan SAF
Sejak pertama kali menjejak kaki di Australia untuk Latihan Wallaby (XWB) pada 2001, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan telah menyaksikan bagaimana latihan ketenteraan itu berkembang selama bertahun-tahun.
Ini termasuk daripada segi kemudahan penginapan yang kini lebih selesa bagi anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
“Dahulu, hanya terdapat kemudahan asas.
“Sekarang, sekurang-kurangnya terdapat tempat berteduh yang sesuai dan kemudahan pancuran mandi yang lengkap.
“Saya rasa ini membawa perubahan besar kepada semua anggota kami,” ujar beliau, yang telah menyertai XWB sebanyak lebih 15 kali.
Namun, bagi BG Fairoz, yang berusia 47 tahun, peningkatan paling penting adalah dari segi mutu latihan yang dapat dijalani oleh para anggota di Australia.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kem Tilpal, Queensland, Australia pada 26 Oktober, beliau berkata meskipun Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA) membolehkan SAF menjalankan latihan pada skala dan tahap yang sukar dilaksanakan di Singapura, penyelarasan jumlah anggota dan aset yang besar di kawasan latihan yang luas itu turut membawa cabaran tersendiri.
Ini memandangkan kira-kira 6,000 anggota dan 1,200 aset daripada Tentera Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) menyertai XWB 2026, yang berlangsung dari 6 September hingga 2 November.
“SWBTA yang luas membolehkan kita menjalankan latihan yang lebih realistik, berskala besar dan berintensiti tinggi, di samping memperkukuh kemahiran anggota.
“Skalanya sangat besar. Menyepadukan semua elemen itu bukan perkara mudah.
“Kita mesti menjalankan latihan ini dengan sebaik dan seberapa selamat yang mungkin, serta mencapai kejayaan misi,” kongsi beliau.
Sebagai Ketua Pegawai Infantri SAF, BG Fairoz bertanggungjawab membangunkan, melatih, dan mengekalkan keupayaan batalion infantri dan juga merupakan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div).
Pada 2025, beliau yang juga Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025.
Ia disampaikan kepadanya atas kecemerlangan beliau sepanjang hampir tiga dekad dalam SAF.
Semasa XWB 2026, BG Fairoz berada di Australia untuk berinteraksi dengan anggota serta memastikan piawaian latihan dalam bidang infantri dipenuhi.
Apabila ditanya tentang arus kemodenan dalam peperangan, BG Fairoz menekankan bahawa batalion infantri juga perlu mengikut perkembangan sifat peperangan yang semakin berubah.
“Kita tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti perubahan yang berlaku. Kita mesti sentiasa selangkah di hadapan.
“Kita perlu meneliti bagaimana peperangan berubah di seluruh dunia, memikirkan cara untuk terus mendahului perkembangan itu, serta mengubah keupayaan pasukan tempur kita agar dapat mengatasi cabaran tersebut,” kongsi beliau.
Salah satu usaha itu ialah transformasi infantri menerusi Batalion Infantri Generasi Seterusnya (NGIB), yang diperkenalkan buat kali pertama semasa XWB 2026.
Ia menggabungkan teknologi termasuk penggunaan dron, struktur pasukan dan konsep pertempuran baharu bagi meningkatkan keberkesanan tempur.
XWB 2026 turut menandakan satu pencapaian penting apabila SAF menguji dan mengesahkan rangkaian keupayaan NGIB yang lebih menyeluruh.
Namun, BG Fairoz menegaskan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi.
“Sebagai anggota tentera, kita mesti sentiasa menguasai asas ketenteraan dengan cemerlang, termasuk kemahiran menembak, kemahiran medan individu dan kecergasan fizikal.
“Perkara ini tidak berubah. Kita mesti benar-benar mahir dalam semua aspek tersebut,” tambah beliau.